Sebuah majlis perkahwinan di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat menjadi kecoh apabila pengantin lelaki meninggalkan pengantin perempuan ketika majlis sedang berlangsung, lapor portal berita FT News.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @alyana200614 menunjukkan pasangan itu sedang bergambar di atas pelamin.
Situasi bertukar tegang apabila pengantin lelaki tiba-tiba melepaskan bajunya dan turun dari pelamin dalam keadaan marah sebelum terduduk menangis tidak lama kemudian, manakala pengantin perempuan hanya berdiri dengan riak wajah yang kecewa.
Pihak keluarga kedua-dua belah pengantin dilihat bergegas ke belakang pentas untuk menenangkan keadaan manakala majlis diteruskan secara sederhana bagi menghormati tetamu yang telah hadir.
Menurut laporan media, punca sebenar tindakan pengantin lelaki itu masih belum dapat dipastikan. Namun berdasarkan spekulasi awal netizen, lelaki tersebut dikatakan berasa tersinggung atau marah selepas melihat isterinya bersikap dingin dan tidak menunjukkan ekspresi bahagia sepanjang majlis berlangsung.
Beberapa pengguna media sosial menuduh pengantin wanita berwajah masam di pelaminan dan tidak mesra terhadap suaminya sekali gus menimbulkan suasana janggal di hadapan tetamu yang hadir.
Ada juga yang berspekualasi bekas teman wanita pengantin lelaki datang ke pernikahan tersebut. Kehadiran itu ternyata membuatkan pengantin perempuan berasa cemburu.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pasangan pengantin atau keluarga mereka berhubung kejadian tersebut. Usaha pihak media untuk mendapatkan penjelasan juga masih belum berhasil.
Sumber rapat kepada keluarga memaklumkan bahawa pasangan tersebut kini memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu memperbesar isu yang sudah terlanjur tular di media sosial.
Rakaman itu mencatatkan lebih 10.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


EmoticonEmoticon