Sabtu, 25 Oktober 2025

Detik bersejarah Timor-Leste rasmi jadi negara anggota ASEAN ke-11


Detik bersejarah tercipta hari ini apabila Timor-Leste diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).


Majlis penyerahan bersejarah itu disempurnakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama menteri luar negara anggota ASEAN lain.


Mohamad dalam ucapannya berkata, penyertaan rasmi Timor-Leste menandakan perluasan skop ASEAN yang kini merangkumi semua negara berdaulat di rantau ini.


"Hari ini kita menyambut penyertaan Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN.


"Ini bukan sekadar peristiwa diplomatik, tetapi simbol kekuatan dan perpaduan serantau," katanya di majlis penyerahan instrumen penyertaan Timor-Leste kepada ASEAN dan SEANWFZ di Kuala Lumpur, hari ini.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Timor-Leste atas penyertaan itu yang dilihat sebagai hasil perjuangan panjang dan ketabahan luar biasa negara berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti ASEAN.


"Timor-Leste adalah negara yang dibina atas keberanian, kesabaran dan harapan yang tidak pernah padam. Hari ini, anda menyertai keluarga yang sekian lama menantikan kehadiran anda," katanya.


Mohamad berkata, Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, sebaliknya menjadi nadi kepada visi bersama rantau ini berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan solidariti demi keamanan serta kemakmuran.


Beliau berkata, dengan penyertaan dalam piagam dan SEANWFZ, Timor-Leste menzahirkan komitmen untuk berjalan seiring dengan negara anggota lain, sambil memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.


"Langkah ini membuktikan keyakinan Timor-Leste terhadap nilai dan idealisme ASEAN serta kepercayaan terhadap masa depan bersama yang harmoni dan saling menghormati," katanya.


Selepas merdeka pada 2002, Timor-Leste menyatakan hasrat untuk menjadi anggota ASEAN sebagai sebahagian daripada integrasi rantau dan secara rasminya negara itu memohon menyertai keanggotaan ASEAN pada 2011.


Proses keanggotaan itu memerlukan waktu yang cukup lama berikutan beberapa alasan termasuk Kesediaan Ekonomi, Kapasiti Institusi dan Konsensus Ahli (keputusan untuk menerima ahli baharu ke dalam ASEAN perlu dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota sedia ada).


Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, pada November 2022, pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.


Persetujuan itu juga memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste dan menggariskan pelan tindakan untuk keahlian penuh, termasuk sokongan kapasiti.


Mohamad Hasan (tengah) menayksikan penyerahan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN antara Menteri Luar Timor-Leste Bendito Freitas (kiri) dan Setiausahan Agung ASEAN Kao Kim Hourn (kanan). - Foto Bernama.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon