Menggunakan aplikasi media sosial bagi menawarkan perkhidmatan urutan badan yang diselitkan aktiviti seks songsang terbongkar menerusi serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis di Taman Miharja, Kuala Lumpur semalam.
Lebih mengejutkan, kegiatan tidak bermoral itu turut menyasarkan pelanggan lelaki tempatan, selain warga asing, dengan bayaran antara RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan yang dibayar secara dalam talian.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi khas itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu sebelum pasukannya digerakkan ke lokasi pada jam 10.37 malam.
Beliau berkata, operasi melibatkan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu turut menahan 18 lelaki, masing-masing 15 warga Myanmar, seorang warga Vietnam, seorang warga India serta seorang warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
"Modus operandi mereka ialah menawarkan urutan badan dan aktiviti seks songsang kepada pelanggan lelaki tempatan dan asing menerusi aplikasi Telegram serta WhatsApp.
"Kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi yang dibayar menerusi dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan.
"Selain itu, seorang warga Myanmar ditahan didapati mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala dua warga Myanmar serta seorang warga Vietnam didapati tinggal lebih masa.
"Baki 13 warga Myanmar lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menyita pasport India, Vietnam dan Myanmar, selain buku tempahan pelanggan, kunci premis, kondom dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
"Seramai 13 warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, dua warga Myanmar dan seorang warga Vietnam di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
"Manakala seorang warga India serta seorang warga Myanmar disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Tambahnya, semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lelaki warga tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.
"JIM komited meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabul undang-undang.
"Tindakan berterusan diambil demi mempertahankan kestabilan dan kemakmuran Malaysia MADANI agar negara kekal aman dan sejahtera," katanya.



EmoticonEmoticon