Khamis, 16 April 2026

Kerajaan pertahan kerjasama dengan Zus Coffee galak warga kota masuk kerja awal


Kerajaan kekal mempertahankan pelaksanaan program 'Bangun! KL' hasil kerjasama dengan Zus Coffee sebagai usaha menghidupkan bandar melalui pelbagai inisiatif yang memenuhi keperluan berbeza masyarakat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pelaksanaan program seperti 'Bangun! KL' mencerminkan pendekatan terbuka kerajaan dalam menerima pelbagai inisiatif sektor swasta seperti Zus Coffee bagi menghidupkan suasana bandar dan memenuhi keperluan rakyat yang berbeza.


"Tidak semua program sesuai untuk setiap individu, namun kepelbagaian inisiatif yang dilaksanakan membolehkan masyarakat memilih aktiviti yang selari dengan minat dan gaya hidup masing-masing.


"Ini inisiatif yang kita sambut baik. Jika bangun awal dan minum kopi, akan dapat diskaun," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara CIMB Bank Bhd dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.


Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud serta Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar.


Menurut Yeoh, pendekatan itu penting dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih hidup dan inklusif, tanpa bergantung kepada satu bentuk program sahaja.


"Daripada tidak melakukan apa-apa, adalah lebih baik kita melaksanakan pelbagai inisiatif. Setiap program mungkin mempunyai kekurangan, tetapi ia tetap memberi nilai kepada kumpulan sasaran tertentu," katanya.


Yeoh berkata, kerajaan mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam memperkenalkan idea dan program baharu, termasuk 'Bangun! KL' selagi ia memberi manfaat kepada masyarakat.


Katanya, kerajaan tidak mampu menangani semua keperluan bandar secara bersendirian, justeru kerjasama dengan pihak swasta menjadi elemen penting dalam mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang memberi impak kepada rakyat.


Pada 9 April lalu, Inisiatif 'Bangun KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera' merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta yang melibatkan Zus Coffee bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggalakkan warga kota memulakan perjalanan ke ibu negara lebih awal melalui tawaran kopi pada harga istimewa serendah RM5.


Program sepanjang tahun itu dilaksanakan di lebih 250 cawangan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula jam 7 hingga 8 pagi hari bekerja yang bertujuan mengurangkan kesesakan trafik waktu puncak serta menggalakkan perubahan corak pergerakan harian warga kota untuk datang bekerja lebih awal.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon