Doktor pakar sebuah hospital swasta dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tujuh sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital itu empat tahun lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.
Mengikut enam pertuduhan, Dr Mohd Syafwan Mohd Soffian, 42, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki di sebuah bilik iaitu kliniknya di sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu antara 25 September hingga 10 April 2023.
Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama kira-kira jam 8 malam pada 9 Oktober 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta perintah pengawasan polis selama dua tahun terhadap tertuduh bagi enam pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) akta sama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, satu sebatan serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad bersama Nur Azhani Azman.
Manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Fairuz Jusoh, Ahmad Kamal Abu Bakar dan Arik Zakri Abdul Kadir.

EmoticonEmoticon