Seorang lelaki didakwa melakukan ugutan emosi terhadap anak sulungnya dengan mengungkit pengorbanan menanggung perbelanjaan keluarga dan pendidikan mangsa sebelum memaksanya menempah bilik hotel untuk dirogol.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Tawau, mangsa yang kini berusia 25 tahun gagal menolak kehendak bapanya kerana sering dipengaruhi secara emosi dengan alasan tertuduh tersebut.
Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum mengarahkannya menempah bilik hotel.
Tertuduh kemudian datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Perbuatan terancang itu akhirnya membawa padah apabila lelaki berusia 53 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.
Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik tertuduh mengaku salah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah Tawau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, tertuduh memaklumkan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan selain memohon hukuman diringankan supaya diberi peluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.
Pendakwaan turut berhujah dalam kes ini kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun lagi dan terdapat unsur perancangan apabila tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa, meminta mangsa menempah bilik hotel dan sanggup bergerak dari Lahad Datu ke Tawau (kira-kira 150 kilometer) untuk melakukan perbuatan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.
Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara 2016 hingga 2026.
Dengan keputusan Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, tertuduh kini berdepan keseluruhan hukuman berjumlah 280 tahun penjara dan 180 sebatan selepas mengambil kira hukuman yang dijatuhkan bagi kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.


EmoticonEmoticon