Rabu, 22 Julai 2026

Pemandu van keselamatan maut serangan jantung semasa beri keterangan berkaitan kes cubaan rompak


Polis Selangor mengesahkan pemandu van syarikat keselamatan yang terbabit dalam kes cubaan rompak di Klang meninggal dunia akibat serangan jantung semasa proses diambil keterangan, malam tadi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa seorang warga tempatan berumur 43 tahun itu bukanlah individu yang tular diacukan pistol oleh suspek dalam kejadian jam 5.30 petang di Bandar Bukit Tinggi, Klang.


"Saya sahkan maklumat itu. Memang ada kes kematian seorang daripada petugas keselamatan ketika sedang ditemubual di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.


"Semasa temubual, mangsa rebah dan pengsan. Seterusnya apabila dibawa ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia. Bedah siasat selesai dijalankan semalam dan setakat ini akibat masalah jantung.


"Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu van, bukan individu yang tular dengan suspek di luar van," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.


Mengulas mengenai siasatan kes, katanya, keterangan diambil pada sebelah malam selepas kejadian.


"Setakat ini belum ada tangkapan tetapi kita sudah mendapat beberapa petunjuk positif. Sejurus ada tangkapan, kejayaan ataupun maklumat lain, kita akan kongsikan. Setakat ini suspek masih belum dapat dikenal pasti," katanya.


Terdahulu, media melaporkan pengawal keselamatan menggagalkan cubaan rompakan oleh seorang lelaki membabitkan wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.


Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.


Shazeli berkata, petugas syarikat keselamatan terbabit kemudian dihampiri seorang lelaki yang memakai jaket gelap dan topi keledar sambil mengacukan objek menyerupai pistol revolver.


Beliau berkata, petugas keselamatan itu bagaimanapun sempat bertindak pantas dengan meletakkan beg berisi wang tunai ke dalam van sebelum segera menutup pintunya.


Menurutnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank serta premis berhampiran, selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon