Sembilan lelaki warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pakatan jenayah melibatkan penipuan cinta atau love scam, awal bulan ini.
Tertuduh Ye Binyu, 32; Yang Jie, 34; Xiang Hanghang, 33; Lin Zhixu, 30; Zhang Peng, 30; Huang Shihong, 31; Tan Qiao, 22; Tan Bo, 26; dan Li Mingrui, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Kesemua mereka didakwa dengan niat bersama bersetuju untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu memperdaya mangsa menerusi love scam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Kondominium Muze PICC, Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas, kira-kira 6.10 petang pada 1 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affendi Zulkifly menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan, selain memohon mereka melapor diri di balai polis sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Ahmad Luthfillah Hadi Ahmad yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memasuki Malaysia sebagai pelancong dan mempunyai pekerjaan tetap di China dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan.
Ahmad Luthfillah berkata anak guamnya juga tidak mempunyai ahli keluarga di negara ini yang dapat membantu membayar jaminan, namun bersedia menyediakan dua penjamin warga Malaysia dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta menetapkan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Sungai Nibong setiap Khamis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA.

EmoticonEmoticon