Selasa, 21 Julai 2026

Kelantan roboh penempatan etnik Rohingya di Tanah Merah


Kerajaan negeri Kelantan merobohkan sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dihuni secara haram oleh etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan di Pechong, Tanah Merah, hari ini.


Operasi perobohan bermula jam 10.30 pagi itu diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah serta disertai beberapa agensi lain.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata perobohan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan premis dan kediaman terbabit dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kebenaran.


Katanya, premis berkenaan kemudiannya disewakan kepada etnik Rohingya dengan bayaran tertentu dikenakan.


"Antara yang dirobohkan ialah sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.


"Tindakan ini dibuat bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram selain menangani isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.


Katanya, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh, memajukan atau menyewakan tanah rizab serta tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.


EmoticonEmoticon