Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, esok dijangka akan meluluskan permohonan bekas ahli untuk kembali parti itu menyertai menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu berdasarkan pendekatan terbuka yang diambil parti berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat kepada pemohon.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada bekas ahli untuk kembali, malah turut membuka peluang kepada individu baharu untuk menyertai UMNO.
"Saya yakin tiada masalah untuk meluluskan permohonan yang diterima kerana kita telah membuka pintu seluas-luasnya.
"Senarai yang ada ini merupakan kumpulan pertama permohonan dan saya percaya semuanya akan diluluskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru hari ini.
Tambah beliau, permohonan untuk menyertai UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa masih dibuka dan tidak terhad kepada mesyuarat yang akan berlangsung esok.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pendekatan tersebut selari dengan sambutan ulang tahun ke-80 parti itu pada 11 Mei ini.
"Ketika parti lain mengambil pendekatan menyingkirkan ahli, UMNO memilih untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak.
"Kita terima, terima dan terus terima keahlian baharu demi memperkukuh parti," katanya.

EmoticonEmoticon