Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian besar’ berhubung jerebu beracun akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo dalam kes mahkamah yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, Rabu lalu.
Empat plaintif, termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asal AMAN, memfailkan saman tindakan kelas itu bulan lalu di sebuah mahkamah di Pontianak, dengan Presiden, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat antara 10 defendan.
Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang menyebabkan sekolah ditutup, selain memaksa ratusan orang mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah berkaitan pernafasan.
Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, selepas pendengaran pertama, kes itu adalah satu langkah untuk menangani masalah kebakaran tahunan yang sebahagian besarnya dipersalahkan terhadap kemusnahan hutan dan didorong tahun ini oleh episod fenomena cuaca El Nino yang sangat kuat sehingga menyebabkan kemarau.
Indonesia selama beberapa minggu bergelut untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua dan Borneo, menyebabkan jerebu tebal sehingga sampai ke Malaysia dan Singapura.
Menurut wartawan AFP yang berada di mahkamah, tiada seorang pun defendan hadir pada pendengaran itu.
Dalam pada itu, Glorio berkata, pihaknya sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka, namun memahami keadaan jerebu itu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak.
Ratusan penerbangan turut terjejas akibat asap berbau busuk berkenaan.
Sementara itu, menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP, plaintif menuduh kerajaan melakukan ‘kecuaian besar’ kerana gagal menangani masalah yang berulang setiap tahun itu.
Mereka mahu kerajaan mengisytiharkan keadaan itu sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi secara menyeluruh dilaksanakan, termasuk menanggung kos penjagaan kesihatan penduduk yang terjejas.
Difahamkan juga, saman serupa yang difailkan tahun lalu di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan sebelum ini ditolak.











