Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Mei 2023

Akhirnya Bumi terima isyarat pertama 'makhluk asing'

Akhirnya Bumi terima isyarat pertama 'makhluk asing'


Sepasukan saintis dari Institut SETI, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berdedikasi untuk memahami kehidupan di angkasa telah mengesan satu isyarat asing dari angkasa lepas, lapor akhbar Daily Mail pada 24 Mei 2023.


Pasukan saintis SETI yang berpangkalan di Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) itu sebenarnya mengadakan simulasi isyarat yang dipancarkan daripada kapal angkasa pengorbit Marikh pada pukul 3 petang (waktu tempatan).


Gelombang radio itu melambung melalui angkasa dengan kelajuan cahaya dan ditangkap oleh tiga teleskop besar di Bumi dalam tempoh 16 minit.


Kejadian pertama seumpamanya itu didakwa akan memberi manusia pengalaman apabila dihubungi makhluk asing.


Saintis di AS dan Itali teruja apabila isyarat itu muncul pada skrin komputer mereka sebelum gelombang radio itu dimuat turut dalam beberapa bahagian.


Pasukan itu merahsiakan butiran penting penemuan itu termasuk jenis isyarat dan mesej yang disertakan.


Isyarat itu diterima tiga teleskop besar di seluruh dunia termasuk Allen Telescope Array (ATA) di California, Robert C. Byrd di Balai Cerap Green Bank (GBO) di West Virginia dan Stesen Astronomi Radio Medicina di utara Itali.


Penyelidik berkata, mesej itu dimuat naik petang semalam dan akan berkongsi dua pautan dengan orang ramai di platform media sosial SETI, membolehkan mereka membantu dengan penyahkodan. - Sumber Daily Mail.


Para saintis di AS dan Itali (gambar) sangat gembira apabila mesej itu muncul pada skrin komputer. Gelombang radio itu dimuat turun dalam beberapa bahagian. - Foto Daily Mail.

Rabu, 10 Mei 2023

NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini

NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini


NASA sedang memantau sebuah asteroid besar yang diramal melintasi Bumi dalam jarak hampir dengan planet ini pada akhir bulan ini, lapor laman berita The Sun pada 8 Mei 2023.


Batuan angkasa besar itu dikenali sebagai 2023 CL3 dan dianggarkan mempunyai saiz lebar sehingga 199.94 meter.


Asteroid sebesar itu boleh menyebabkan beberapa kerosakan serius jika ia berlanggar dengan Bumi.


Asteroid dianggap boleh mencetuskan bahaya kepada planet ini jika ia berada dalam jarak 7.48 juta kilometer (km) dan lebih besar berbanding saiz tertentu.


Asteroid 2023 CL3 dijangka melewati Bumi pada 24 Mei pada jarak kurang dari 7.2 juta km.


Ia mungkin kedengaran agak jauh tetapi dalam pengiraan keluasan angkasa lepas, ia bukanlah jarak yang jauh sama sekali.


Dianggarkan bahawa asteroid besar itu akan melepasi planet ini dengan selamat jika ia bergerak pada kelajuan lebih daripada 25,749 km sejam. - Sumber The Sun.


Sebuah asteroid besar dikenali sebagai 2023 CL3 dijangka melintasi Bumi pada akhir bulan ini. - Foto Getty Images.

Sabtu, 22 April 2023

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk meletup di atmosfera Bumi dan mencetuskan pemandangan luar biasa di langit, lapor akhbar Daily Star pada 20 April 2023.


Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy atau digelar Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina, selain direka khas untuk menghantar kru dan kargo ke orbit Bumi, Bulan, Marikh dan lokasi lain di angkasa lepas.


Roket itu diuji tanpa anak kapal dalam ujian penerbangan tersebut. Ia merupakan ujian penerbangan pertama Starship yang dipasang atas roket baharu syarikat itu, Super Heavy.


Roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa Starship dilancarkan dari tapak pelancaran Starbase di Boca Chica, berdekatan Brownsville, Texas, Amerika Syarikat.



SpaceX sebelum ini menyifatkan kapal angkasa Starship sebagai satu kejayaan dengan mempunyai ketinggian 120 meter, beserta 33 enjin dan 7.5 juta kilogram tujahan.


Siaran langsung menerusi laman sesawang SpaceX menunjukkan roket tersebut berjaya dilancarkan ke udara, dengan iringan sorakan para kakitangannya.


Namun, kira-kira empat minit selepas pelancaran, Starship dilihat gagal dipisahkan dari Super Heavy sebelum roket gabungan itu mula terpesong arah lalu meletup di ruang udara dan terhempas ke perairan Teluk Mexico.


Sementara itu, syarikat SpaceX memaklumkan kapal angkasa itu mencapai ketinggian kira-kira 39 kilometer sebelum meletup.


Jelasnya, roket itu juga mencapai titik pelancaran kritikal tekanan aerodinamik maksimum sebelum hilang kawalan.


Bagaimanapun, pegawai SpaceX mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya. - Sumber Daily Star.


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh SpaceX meletup di atmosfera Bumi. - Foto AFP.

Selasa, 18 April 2023

Orang ramai bakal menyaksikan hujan Meteor Lyrids 23 April ini

Orang ramai bakal menyaksikan hujan Meteor Lyrids 23 April ini


Orang ramai bakal menyaksikan kemuncak fenomena Hujan Meteor Lyrids yang dijangka berlaku di langit Kuala Lumpur pada 23 April ini pukul 3 pagi waktu Malaysia.


Menerusi hantaran Agensi Angka Malaysia (MYSA) pada Facebook, kenampakan Hujan Meteor Lyrids itu adalah baik kerana tiada gangguan cahaya bulan semasa kemuncak berlaku.


"Fenomena angkasa ini dijangka dilihat mulai 15 hingga 19 April, manakala kemuncak Hujan Meteor Lyrids diramalkan pada malam 22 April hingga awal pagi 23 April dengan purata 18 meteor perjam," kata hantaran tersebut.


Dalam pada itu, MYSA menjelaskan, Hujan Meteor Lyrids terkenal dengan kelajuannya dan kelihatan terang walaupun tidak sepantas atau sebanyak Hujan Meteor Perseids.


"Kenampakan Hujan Meteor Lyrids sebanyak 100 meteor perjam pernah berlaku pada tahun 1803 di Virginia, 1922 di Greece, 1945 di Jepun dan 1982 di Amerika Syarikat. Secara umumnya, sekitar 10 hingga 20 meteor perjam boleh dilihat semasa kemuncak ia berlaku.


"Hujan Meteor Lyrids berasal dari serpihan yang ditinggalkan oleh komet bernama C/1861 G1. Titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Lyra. Bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.


"Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit Komet C/1861 G1 atau lebih dikenali sebagai Komet Thatcher," menurut kenyataan itu.


Mengulas lanjut, MYSA menjelaskan, Komet Thatcher dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan orbitnya dengan lali terakhir ia mencapai jarak yang paling dekat dengan matahari pada tahun 1861 dan dijangka dapat dilihat dari bumi semula pada tahun 2276.


"Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.


"Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang," katanya. - Sumber Kosmo Online.

Jumaat, 31 Mac 2023

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari


Sekumpulan ahli astronomi di Britain menemui sebuah lohong hitam bersaiz amat besar iaitu kira-kira 33 bilion kali jisim Matahari, lapor akhbar Metro UK pada 29 Mac 2023.


Kumpulan saintis daripada Universiti Durham itu berkata, lohong hitam gergasi tersebut adalah antara yang paling besar pernah ditemui.


"Lohong hitam yang saiznya kira-kira 30 bilion kali jisim Matahari ini adalah satu daripada lohong hitam terbesar yang pernah dikesan.


"Berdasarkan had maksimum mengenai seberapa besar saiz lohong hitam secara teori, penemuan ini adalah sesuatu yang amat menarik," kata pengarang utama kajian tersebut, Dr. James Nightingale.


Dalam kajian tersebut, saintis menggunakan fenomena dikenali sebagai kanta graviti, di mana mereka mendapatkan bantuan daripada galaksi berdekatan dengan menukarnya menjadi kanta pembesar gergasi.


Ia seterusnya mendedahkan kehadiran lohong hitam gergasi itu. Lohong hitam merujuk kepada zon di mana tarikan gravitinya amat kuat sehinggakan tiada cahaya yang dapat terlepas. - Sumber Metro UK.


Lohong hitam yang paling besar pernah ditemui. - Foto PA / Mirror UK.

Khamis, 9 Mac 2023

Pelancaran roket H3 gagal lagi, Jepun terpaksa meletupkan roket baharunya

Pelancaran roket H3 gagal lagi, Jepun terpaksa meletupkan roket baharunya


Roket baharu milik jepun, roket H3 dilaporkan gagal pada percubaan kali kedua pelancarannya pada hari Selasa lepas, lapor akhbar BBC News pada 7 Mac 2023.


Sehubungan itu, Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mengeluarkan arahan untuk musnahkan roket berkenaan selepas memutuskan misi itu tidak berjaya ketika pelepasan.


Kegagalan itu merupakan tamparan hebat kepada JAXA selepas roket tersebut gagal dilancarkan pada percubaan pertama bulan lalu disebabkan dua enjinnya tidak dapat berfungsi.


Pelancaran kali kedua dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun pada mulanya nampak berjaya, dengan roket itu berlepas pada pukul 10:37 pagi (waktu tempatan).


Walaupun roket itu berjaya melepasi fasa pemisahan peringkat pertama, namun tidak lama kemudian beberapa tanda masalah muncul.


"Nampaknya halaju semakin menurun," kata juruhebah JAXA yang bersiaran langsung ketika misi tersebut.


Bagaimanapun, pusat arahan kemudian mengesahkan misi itu gagal dan menghantar mesej untuk musnahkan roket itu.


"Arahan pemusnahan sudah dihantar ke H3 kerana tiada peluang misi itu akan berjaya," jelas pusat arahan itu.


Setakat ini, tiada penjelasan diberikan mengenai punca pelancaran itu gagal.


Roket H3 dibangunkan untuk pelancaran komersial lebih kerap dan yang pertama direka oleh Jepun dalam tiga dekad.


Ia telah dibentangkan sebagai alternatif yang lebih murah dan dikatakan sebagai pesaing yang mungkin untuk Falcon 9 Space X milik Elon Musk.


Pada hari Selasa, jurutera telah menyasarkan untuk menghantar roket setinggi 57 meter itu ke angkasa dengan satelit pemantauan di atas kapal. Sistem ALOS-3 mampu mengesan pelancaran peluru berpandu Korea Utara.


H3 yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries, merupakan pengganti kepada model H-IIA, yang mula diperkenalkan pada tahun 2001. - Sumber BBC News.


Orang ramai menyaksikan pelancaran roket H3 di Pusat Angkasa Tanegashima di Kagoshima, barat daya Jepun. - Foto AFP.

Ahad, 26 Februari 2023

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit


Penduduk dan pihak berkuasa di Jepun bingung dengan kemunculan bebola logam besar misteri yang terdampar di kawasan pantai beberapa hari lalu.


Bola besi yang berukuran kira-kira 1.5 meter lebar itu muncul di pantai di Hamamatsu, sebuah bandar di Pulau Honshu.


Lapor media tempatan, Objek misteri itu menjadi bahan bualan dan mencetus spekulasi hangat sejak dihanyutkan di pantai Pasifik negara itu.


Kebimbangan tentang bom sesat disangkal selepas pakar yang menggunakan teknologi X-ray untuk memeriksa bahagian dalamnya mendapati objek itu berongga dan tidak akan meletup.



Sehingga kini tiada sebarang petanda untuk mengaitkan objek misteri itu dengan misi pengintipan oleh Korea Utara atau China.


Lapor Asahi TV, polis mula memeriksa bola berwarna coklat jingga dengan tompokan karat itu selepas seorang wanita tempatan ternampak objek berkenaan di atas pasir hanya beberapa meter dari pantai semasa dia keluar untuk bersiar-siar awal minggu ini.


"Pegawai mengepung kawasan itu dan memanggil pakar bahan letupan yang memakai pakaian pelindung untuk menyiasat lebih lanjut, tetapi laporan mengatakan pihak berkuasa masih tidak tahu apakah fungsi sfera itu atau dari mana ia datang.


"Gambar telah dihantar kepada pasukan pertahanan Jepun dan pengawal pantai untuk pemeriksaan lanjut," jelas laporan itu.



Ramai berpendapat bola besi itu menyerupai sesuatu daripada siri manga popular Dragon Ball, manakala yang lain percaya objek misteri itu adalah UFO yang jatuh dari langit.


Rakaman tentang objek itu mencetuskan spekulasi di media sosial, sejurus selepas Jepun mengesyaki beberapa belon pengintip China dikesan di wilayahnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Pada Rabu, Jepun menyatakan kebimbangannya mengenai belon pengawasan yang disyaki dikesan di ruang udaranya sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2019. Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.


Penemuan sfera itu juga berlaku selepas Amerika Syarikat menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip pada awal Februari. - Sumber The Guardian.


BACA: Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China.


Bola besi misteri dengan diameter 1. 5 meter terdampar di pantai Enshu di bandar Hamamatsu, Jepun. - Foto Twitter.