Selasa, 21 Oktober 2025

Kami tak sangka suspek libas pisau adik sendiri - kakak ipar mangsa


"Saya sendiri terkejut. Kami sekeluarga tak sangka langsung adik akan dikaitkan dengan kejadian macam ini."


Demikian luahan wanita ingin dikenali sebagai Yati, 35, kakak kepada suspek lelaki yang didakwa melibas seorang remaja perempuan menggunakan objek tajam di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling, Melaka semalam.


Katanya, mangsa dalam kejadian itu sebenarnya merupakan adik iparnya sendiri yang telah menetap berhampiran rumah keluarga mereka sejak tiga bulan lalu selepas diambil bekerja di sebuah kilang sarung tangan di kawasan berkenaan.


"Mangsa memang tinggal berhampiran dengan rumah mak kami di Tangga Batu, tapi saya duduk di Sungai Udang. Sebab itu bila dapat tahu, saya betul-betul tergamam.


"Adik saya sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, tak pernah cerita tentang tekanan atau masalah dengan sesiapa. Dia jenis biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Yati, keluarganya kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan emosi kedua-dua pihak.


"Kami pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mangsa pun keluarga kami," ujarnya dengan nada sebak.


Terdahulu, media malam tadi melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat kejadian itu mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.


Suspek berusia 25 tahun diberkas dirumahnya di Tangga Batu, Melaka, malam tadi. - Foto oleh Amran Ali / Kosmo Online.


EmoticonEmoticon