Isnin, 20 Oktober 2025

Wanita batalkan perkahwinan dan minta RM19,000 untuk 'bayaran peluk'


Seorang wanita di wilayah Henan, China, mencetuskan kemarahan orang ramai selepas menuntut 'bayaran peluk' sebanyak 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) daripada bekas tunangnya.


Menurut South China Morning Post, wanita itu sebelum ini menerima wang hantaran sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM132,000) daripada keluarga lelaki berkenaan ketika bertunang awal tahun ini.


Bagaimanapun, dia kemudian menyesali pertunangan itu dan bersetuju untuk memulangkan wang sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM132,000) selepas memutuskan untuk membatalkan perkahwinan.


Namun, dia mengejutkan bakal suaminya apabila meminta 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) ditolak daripada jumlah yang perlu dipulangkan dengan alasan ia pampasan atas 'kos berpelukan' semasa sesi penggambaran praperkahwinan.


Insiden yang dilaporkan Henan TV itu tular di media sosial China dan meraih lebih 23 juta tontonan.


Menurut laporan, pasangan berkenaan berkenalan tahun lalu melalui orang tengah dan bertunang pada Januari sebelum merancang untuk berkahwin November ini.


Keluarga lelaki juga sudah menempah hotel dan memaklumkan kepada saudara-mara mengenai majlis perkahwinan berkenaan.


Namun, wanita terbabit kemudian membatalkan pertunangan kerana mendakwa lelaki itu terlalu jujur dan berpendapatan rendah.


Sementara itu, orang tengah mereka, dikenali sebagai Wan, berkata, wanita terbabit bersetuju memulangkan wang hantaran tetapi mahu mengekalkan 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) sebagai 'bayaran peluk'.


Wan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral dan mendakwa keluarga wanita itu paling cerewet pernah ditemuinya sepanjang 10 tahun menjadi orang tengah.


Selepas rundingan, kedua-dua keluarga bersetuju wanita berkenaan memulangkan 170,500 yuan (kira-kira RM112,500) kepada pihak lelaki.


Kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku di China kerana wanita yang menarik diri selepas pertunangan tetapi enggan memulangkan wang hantaran sering menjadi tajuk utama di negara itu.


Tahun lalu, seorang lelaki di Hunan turut membawa bekas tunangnya ke mahkamah selepas keluarga wanita itu enggan memulangkan wang hantaran sebanyak 230,000 yuan (kira-kira RM151,800).

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon