Isnin, 20 Oktober 2025

Sanggup redah 500 kilometer jumpa teman wanita, akhirnya ditangkap khalwat


Seorang lelaki sanggup meredah perjalanan lebih 500 kilometer (km) dari Terengganu untuk bertemu dengan teman wanitanya di Johor Bahru.


Namun, dia ditangkap khalwat bersama pasangannya di hotel di Pasir Gudang, malam tadi, dan memberikan alasan penat kerana jalan raya sesak untuk pulang semula ke negeri itu.


Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pasangan itu antara sembilan pasangan yang ditangkap dalam operasi JANIJ, di beberapa hotel di Pasir Gudang dan Masai, malam tadi.


"Lelaki yang datang dari Terengganu sempena cuti panjang, berumur 23 tahun berstatus bujang dan pasangannya berumur 22 tahun yang belajar di Johor Bahru.


"Lelaki memberi alasan penat kerana perjalanan jauh dan jem dari Terengganu. Wanita pula datang untuk teman berbual kerana dia suka sembang.


"Turut ditangkap khalwat adalah lelaki berumur 25 tahun, masih bujang dari Ayer Baloi, Pontian dan teman wanitanya berumur 20 tahun yang belajar di Mersing.


"Pasangan ini bertemu sejak pagi termasuk bersiar-siar dan pergi makan seterusnya ke bilik hotel pula.


"Apabila ditanya, pasangan ini menyatakan sudah lewat untuk pulang ke asrama hingga terpaksa tidur di hotel," katanya.


JAINJ memaklumkan operasi bermulan 10 malam hingga 4 pagi tadi, turut disertai 15 pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).


"Pasangan ketiga ialah lelaki umur 24 tahun dari Masai dan perempuan berumur 16 tahun dan kemungkinan masih belajar di Sarawak.


"Pasangan ini mengaku sudah bertunang dan penguatkuasa JAINJ sedang mengumpul maklumat sama ada perempuan itu masih belajar atau sudah berhenti.


"Pasangan keempat adalah lelaki dari Kelantan berumur 22 tahun yang datang bertemu kekasihnya, berasal dari Kelantan yang sudah bekerja di Pasir Gudang.


"Dalam operasi bersepadu ini juga, empat warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan beragama Islam dan mencari rezeki di dini turut ditangkap berkhalwat," katanya.


Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.


Pegawai penguatkuasa JAINJ memeriksa salah satu bilik hotel dalam operasi yang dijalankan di beberapa hotel di sekitar Pasir Gudang dan Masai, malam tadi. - Foto JAINJ.


EmoticonEmoticon