Rabu, 22 Oktober 2025

Pemilik lori sanggup bakar kenderaannya elak disita JPJ


Gara-gara tidak mahu lorinya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang individu sanggup membakar kenderaan miliknya ketika ditahan di Kampung Padang Air, Kuala Nerus hari ini.


Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air.


Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota JPJ yang sedang melakukan rondaan.


"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu remaja bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu selain lesen kenderaan sudah tamat tempoh selama lebih dua tahun.


"Lori itu juga didapati gagal menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sejak 2023," katanya.


Jelas beliau, pemilik lori enggan memberi kerjasama ketika anggota JPJ mahu menyita kenderaan tersebut dan membakar kenderaan tersebut bagi menghalang sitaan.


"Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa anggota bertugas. Semakan mendapati suspek memiliki enam saman yang masih aktif termasuk mengubah suai kenderaan," katanya.


Tambahnya, susulan kejadian itu, pihaknya membuat laporan kepada polis dan Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.


Sebuah lori yang dibakar pemiliknya bagi mengelak disita JPJ di Kampung Padang Air, Kuala Nerus hari ini.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon