Khamis, 23 Oktober 2025

Wanita memasukkan serbuk cili ke dalam seluar, cederakan rakan kena jel 15 tahun


Tindakan kejam seorang wanita warga Indonesia yang melumur serbuk cili dalam seluar termasuk mencucuk badan rakan senegeranya menggunakan gunting berakhir apabila dia dihukum penjara 15 tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.


Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh yang merupakan jurujual atas talian, Erna Wati, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.


Mahkamah memeritahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap dan dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Dyah Ayu Kurniasari, 43, di hadapan sebuah tempat di Kuala Lumpur menggunakan gunting pukul 10.30 malam pada 7 Oktober lalu.


Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.


Terdahulu, peguam Ahmad Ikram Ab.Alim merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh telah menetap di Malaysia selama 20 tahun dan mempunyai lima anak berusia antara lima hingga 11 tahun serta tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini.


"Saya pohon agar tempoh tahanan reman diambil kira sebagai sebahagian hukuman. Tertuduh benar-benar insaf dan kesal atas perbuatannya. Ini merupakan kesalahan pertama sepanjang 41 tahun hidupnya," katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tahap kekejaman terhadap mangsa dan kepentingan awam.


"Perbuatan tertuduh amat kejam dan mencerminkan unsur keganasan terhadap wanita. Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai pengajaran agar tidak berulang," katanya.


Berdasarkan fakta kes, pada 7 Oktober lalu kira-kira pukul 11.56 malam, pengadu yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima seorang pesakit wanita warga Indonesia yang dibawa menaiki ambulans dari hadapan Pulapol dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di bahagian badan, tangan dan muka.


Siasatan mendapati, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja mangsa dijemput oleh rakannya yang dikenali sebagai Ayu atas alasan ingin mengajaknya keluar minum.


Mangsa kemudian menaiki sebuah kereta bersama tertuduh dan dua lagi individu lain manakala sebuah lagi kenderaan yang dinaiki suami tertuduh mengekori dari belakang.


Ketika berada di dalam kereta, tertuduh mengarahkan rakannya yang dikenali sebagai Kak Ina supaya memandu laju sambil menyoal mangsa.


Akibat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Erna menyuruh rakannya, Ernik memegang mangsa sebelum tertuduh melumurkan serbuk cili pada muka mangsa.


Tertuduh turut bertindak mencakar dan menampar mangsa beberapa kali, mencungkil mata serta menggunting pakaian mangsa menggunakan gunting sebelum mencucuk belakang badan mangsa beberapa kali dengan gunting dan memasukkan serbuk cili ke dalam seluar dalam mangsa yang kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah pusat Latihan dalam keadaan separuh sedar.


Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami beberapa luka akibat tikaman dan cakaran serta kesan serbuk cili di dalam seluar, selain terdapat kesan rambut yang telah dipotong pada badannya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon