Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Isnin, 8 Disember 2025

Derita penyelam, sudah sedekad badan jadi kembung

Derita penyelam, sudah sedekad badan jadi kembung


Selama lebih sedekad, seorang penyelam makanan laut dari Peru berusaha untuk menghilangkan poket nitrogen yang terbentuk di bawah kulitnya akibat tindakannya naik ke permukaan terlalu cepat.


Memetik laporan Oddity Central, Alejandro 'Willy' Ramos Martínez menghidap keadaan dikenali sebagai penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan persekitaran.


Penyakit itu lazimnya berlaku dalam kalangan penyelam yang melakukan selaman dalam dan tidak mengikut prosedur penyahmampatan dengan betul.


Pada 2013, Willy sedang menyelam pada kedalaman lebih 30 meter (m) di pesisir pantai Pisco, Peru untuk mencari hasil laut sebelum sebuah bot yang lalu memutuskan hos oksigennya sekali gus memaksanya naik ke permukaan dengan cepat.


Kenaikan mendadak itu menyebabkan gelembung nitrogen terbentuk di dada dan lengannya mengakibatkan masalah perubatan yang mendorong bahagian toraks dan lengannya berubah bentuk.


Kes kali pertama Willy ini dilaporkan pada 2017 dan kisahnya menjadi tular. Ketika itu, doktor hanya mampu membantunya dengan memberikan oksigen tekanan tinggi untuk menghapuskan gelembung nitrogen itu.


Pada masa itu, mereka berjaya menghapuskan kira-kira 30 peratus daripada gelembung nitrogen besar dalam tubuhnya dan optimis dia akan pulih, namun lapan tahun kemudian, Willy masih mencari penawar.


Kes Willy dianggap unik di dunia kerana penyakit penyahmampatan biasanya mempunyai simptom berbeza iaitu boleh menyebabkan sakit, kerosakan tulang dan sendi selain menjejaskan sistem saraf.


Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan lumpuh atau kematian tetapi tiada siapa pernah mengalami kecacatan fizikal seperti dialami Willy dengan otot bisepnya kini masing-masing mempunyai lilitan sekitar 62 sentimeter (cm) dan 72cm.


Disebabkan gelembung nitrogen itu melekat pada otot dan organ dalamannya, pembedahan bukan pilihan yang selamat sekali gus menyebabkan dia terpaksa menjalani kehidupan seperti belon.


Dalam satu temu bual kepada BBC, Willy berkata, dia mengalami kemurungan apabila orang memandangnya dengan rasa simpati, namun akhirnya dia berjaya melalui fasa itu.


"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diselamatkan dalam satu keajaiban. Walaupun cacat, saya masih hidup. Saya mahu kembali menyelam jika boleh. Saya rindukan aktiviti menyelam kerana ia adalah hobi saya," katanya.


'Willy' Ramos Martínez menghidap keadaan dikenali sebagai penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan persekitaran.

Isnin, 10 November 2025

Wanita patah leher gara-gara menguap terlalu kuat

Wanita patah leher gara-gara menguap terlalu kuat


Seorang wanita di Britain mengalami patah leher selepas menguap terlalu kuat sehingga memaksa dia menjalani pembedahan kecemasan, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.


Hayley Black, 36, menguap pada suatu pagi ketika dia mahu memberi susu kepada anaknya.


Ia adalah perkara biasa yang dilakukan sebelum wanita itu secara tiba-tiba merasa sensasi renjatan elektrik meresap ke seluruh badannya.


Black serta-merta menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena, justeru dia meminta suaminya untuk menghubungi ambulans.


Selepas ujian imbasan dilakukan, doktor menyedari bahawa tulang C6 dan C7 di leher Black bergerak ke dalam tulang belakangnya.


"Ia sungguh gila. Tulang C6 dan C7 bergerak ke dalam tulakang belakang apabila saya menguap kerana kekuatan menguap itu. Doktor katakan bahawa ia adalah kejadian yang sangat pelik," kata Hayley.


"Ibu saya memberitahu bahawa doktor menjangkakan saya mempunyai peluang 50/50 sama ada boleh berjalan dan berpotensi untuk terus hidup," tambahnya.


Black bagaimanapun bernasib baik apabila dia menjalani pembedahan segera dan cuma perlu menggunakan kerusi roda selama enam bulan serta harus mempelajari untuk berjalan semula.


Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerosakan saraf kekal dan parut trakea di mana doktor telah membuang cakera di lehernya.


Black mengalami patah leher kerana menguap terlalu kuat. - Foto Kennedy News.

Rabu, 29 Oktober 2025

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat


Penduduk di daerah Subang, Jawa Barat gempar dengan kemunculan beberapa gumpalan menyerupai 'awan hitam' yang jatuh ke kawasan pertanian dan sawah padi, lapor portal berita DetikJabar hari ini.


Kejadian luar biasa itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang tertanya-tanya sama ada fenomena tersebut ada kaitan dengan aktiviti semula jadi atau cuaca ekstrem.


Namun, Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Bandung mengesahkan bahawa fenomena berkenaan bukan disebabkan oleh proses semula jadi.


"Berdasarkan hasil kajian awal aspek meteorologi, fenomena tersebut tidak termasuk dalam kejadian alam yang disebabkan oleh proses cuaca, awan atau aktiviti atmosfera lain," kata Ketua BMKG Bandung, Teguh Rahayu dalam kenyataannya hari ini.


Hasil pemerhatian menunjukkan gumpalan hitam itu kemungkinan besar berpunca daripada aktiviti di permukaan bumi, bukan daripada proses atmosfera.


"Namun, bagi memastikan sumber serta kandungan bahan tersebut, disarankan agar pemeriksaan lanjut dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar atau Agensi Pengurusan Bencana Daerah setempat," tambahnya.


'Awan hitam' yang jatuh di Subang kelmarin. - Foto TikTok@infobandungselatan.

Ahad, 12 Oktober 2025

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua


Seorang penternak haiwan di Bondowoso, wilayah Jawa Timur terkejut apabila seekor lembu betina peliharaannya melahirkan anak berkepala dua, lapor portal berita Times Indonesia.


Anak lembu itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam.


Pemilik haiwan dikenali sebagai Fauzi berkata, rumahnya dikunjungi penduduk setempat dari pagi hingga petang semata-mata untuk menyaksikan anak lembu itu.


"Meskipun dilahirkan secara tidak normal, anak lembu itu masih hidup. Saya memberikan susu perahan daripada induknya dengan menggunakan botol susu.


"Proses kelahiran berlangsung selama 20 minit dengan bantuan doktor veterinar dan penduduk tempatan," kata Fauzi. 


Tambah Fauzi, haiwan yang mempunyai kelainan genetik jarang hidup lebih lama terutamanya jika terdapat luka di kepala.


"Kalau otaknya satu, ia mampu hidup lama. Namun, kalau terdapat dua otak, peluang hidupnya tipis," katanya.


Anak lembu berkepala dua itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam. - Foto Times Indonesia.

Khamis, 9 Oktober 2025

Datuk sempat tikam kepala king cobra sebelum rebah

Datuk sempat tikam kepala king cobra sebelum rebah


Seorang petani di Sukabumi, wilayah Jawa Barat maut akibat dipatuk seekor ular tedung selar (king cobra) selepas bertarung dengan reptilia itu berhampiran kawasan rumahnya, lapor laman berita Tribunnews semalam.


Lelaki dikenali sebagai Ocang, 73, ditemukan sudah tidak bernyawa di luar rumahnya Isnin lalu.


Tidak jauh dari mayat Ocang, bangkai seekor ular tedung selar sepanjang 4 meter ditemukan dengan keadaan kepalanya ditikam dengan tongkat kayu.


Seorang jiran, Libra Rustiana berkata, reptilia itu sudah tiga kali datang ke rumah Ocang dan cuba memakan ayam peliharaan lelaki itu.


"Ular itu sebelum ini ditemukan di dalam reban ayam Ocang, sudah tiga kali ular itu datang. 


"Ocang terpaksa membunuh ular itu," kata Libra sambil menambah, mayat warga emas itu ditemukan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) dengan kesan gigitan ular.


Keadaan bangkai ular tedung selar yang ditikam Ocang. - Foto RadarJabar.

Rabu, 24 September 2025

Lubang benam gergasi sedalam 50 meter gemparkan penduduk Bangkok

Lubang benam gergasi sedalam 50 meter gemparkan penduduk Bangkok


Sebahagian Jalan Samsen di hadapan Hospital Vajira, Bangkok mendap pagi ini, membentuk sebuah lubang benam besar sedalam kira-kira 50 meter, lapor laman berita Bangkok Post.


Namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.


Kejadian berlaku sekitar pukul 7.13 pagi (waktu tempatan) dengan lubang benam dianggarkan berukuran 30 meter lebar dan 30 meter panjang.


Ia terbentuk betul-betul di atas permukaan stesen kereta api bawah tanah Hospital Vajira.



Laluan trafik antara persimpangan Vajira dan Sanghi ditutup atas faktor keselamatan, demikian menurut Pejabat Daerah Dusit.


Perkhidmatan pesakit luar di hospital kerajaan itu digantung, manakala kira-kira 3,500 pesakit telah dipindahkan dari bangunan berdekatan.


Laporan awal menunjukkan struktur hospital tidak mengalami kerosakan. Penduduk di bangunan apartmen berdekatan juga diarahkan untuk berpindah.


Dua tiang elektrik dan sebuah kenderaan polis jatuh ke dalam lubang benam itu selepas kejadian tersebut.


Pegawai-pegawai daripada Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan.


Kawasan tersebut sebelum ini ditutup kerana pembinaan Laluan Ungu Transit Rapid Massa (MRT) sambungan Tao Poon ke Rat Burana.


Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kejadian mendap itu.


Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt bersama pasukan pegawai sedang melakukan pemeriksaan di lokasi.


Jalan berlubang sedalam 50 meter terbentuk di Bangkok. - Foto Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Khamis, 4 September 2025

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai


Bangkai sejenis hidupan laut misteri ditemukan terdampar di sebuah pantai popular di Wales sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai spesies tersebut, lapor akhbar Daily Star pada 3 September 2025.


Penemuan itu dibuat oleh seorang penduduk tempatan di Pantai Cefn Sidan dalam daerah Carmarthenshire, pagi semalam.


Orang ramai percaya bahawa ia adalah bangkai ikan paus, namun sebilangan anggota badannya didapati tidak sama seperti mamalia itu.


Makhluk misteri itu digambarkan seperti raksasa kerana bersaiz besar sehingga mampu memuatkan empat buah kereta.


Selain memiliki apa yang kelihatan seperti sayap, ia juga berwarna hijau kekuningan, dipercayai berpunca daripada proses reputan yang terlalu lama.


Pakar marin sedang memeriksa bangkai tersebut untuk mengenal pasti punca kematian dan spesiesnya dengan tepat. - Sumber Daily Star.


Keadaan bangkai yang ditemukan terdampar di Pantai Cefn Sidan. - Foto Clayton Boswell.