Baru enam bulan dibersihkan, seorang warga emas kembali kepada tabiat lama mengumpul 'harta' di sekitar kawasan rumahnya di Taman Sentosa, Johor Bahru sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jiran tetangga.
Seorang penduduk, Jamaludin Kasbi, 56, berkata, isu itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman jiran, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan seperti risiko kebakaran dan ancaman kesihatan.
"Pak cik ini ada masalah kesihatan mental, suka kumpul barangan terpakai seperti kotak, plastik, botol dan sebagainya. Dia beritahu nak jual tapi bila dah banyak macam ini, ia boleh mengundang masalah lain.
"Boleh berlaku risiko kebakaran yang teruk, mungkin boleh jadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan denggi boleh merebak," katanya ketika dihubungi.
Menurut lelaki itu, sebelum ini, sepasukan 50 sukarelawan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) turun padang bergotong-royong membersihkan rumah warga emas tersebut pada Julai tahun lalu.
"Sebanyak 32 tan sampah dikumpulkan dan rumahnya kembali lapang serta teratur. Kami harap pihak berkaitan dapat mengambil langkah lebih berkesan bagi menangani isu ini agar tidak berulang demi kesejahteraan penduduk," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata, sikap segelintir individu yang masih menghantar perabot dan barangan lama kepada warga emas itu turut menyumbang kepada masalah tersebut.
"Setiap minggu saya minta lori kutip sampah di rumah warga emas berkenaan dan hasil jualan barangan terpakai diserahkan kepadanya. Namun disebabkan cuti Tahun Baharu Cina, lori tidak dapat menjalankan tugas, menyebabkan sampah kembali bertimbun," ujarnya.

EmoticonEmoticon