Pencapaian KWSP yang mengekalkan kadar dividen melebihi enam peratus mencerminkan kekuatan pengurusan agensi itu dalam menghadapi cabaran pasaran global ketika kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan berkenaan turut mengukuhkan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
"Alhamdulillah, KWSP mengisytiharkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk 2025 dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.
"Pencapaian ini, meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar, mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP dan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan menyambut baik pencapaian prestasi berkenaan dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tindakan progresif seperti itu bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah.
Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.
Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai esok dan ahli boleh menyemaknya melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
J

EmoticonEmoticon