Memaparkan catatan dengan label Artifak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artifak. Papar semua catatan

Khamis, 23 Februari 2023

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China


Tandas pam berusia 2,400 tahun ditemukan di wilayah Shaanxi di China pada musim panas lalu dan didedahkan bulan ini, lapor China Daily.


Menurut pakar, tandas manual itu ditemukan di kawasan runtuhan istana di Yueyang yang mungkin digunakan sejak Zaman Negara Berperang (424 sebelum masihi) dan Dinasti Qin (221 hingga 206 sebelum masihi).


"Ia adalah tandas pam pertama dan satu-satunya yang pernah ditemukan di China. Semua orang di tapak itu terkejut, dan kemudian kami semua ketawa," kata Liu Rui, seorang penyelidik dari Institut Arkeologi di Akademi Sains Sosial China.


Menurut Rui, tandas manual dianggap sebagai barang 'mewah', sekurang-kurangnya untuk pemerintah dan bukan pelayan yang terpaksa menyiram sisa tuannya dengan air.


Tandas direka bentuk supaya 'mangkuk' berada di dalam manakala paip akan membawa sisa ke dalam lubang luar.


Tandas itu mungkin digunakan oleh Qin Xiaogong, yang hidup dari 381 hingga 338 atau bapanya, Qin Xian'gong (424 hingga 362), menurut penyelidik.


Kata penyelidik, bahagian rangka atas tidak ditemukan dalam penggalian, jadi tidak jelas sama ada pengguna akan duduk atau mencangkung ketika menggunakannya.


Rui membuat spekulasi pengguna terpaksa mencangkung berdasarkan rekod tandas dari Dinasti Han Barat.


"Tandas siram adalah bukti kukuh mengenai kepentingan orang Cina purba pada keperluan sanitasi," kata Rui. - Sumber New York Post.


Tandas pam pertama berusia 2,400 tahun yang ditemukan di wilayah Shaanxi. - Foto Institute of Archaeology.

Khamis, 5 Januari 2023

AS pulang semula 'keranda hijau' berusia hampir 3,000 tahun milik Mesir yang dicuri

AS pulang semula 'keranda hijau' berusia hampir 3,000 tahun milik Mesir yang dicuri


Muzium Sains Asli Houston di Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sebuah sarkofagus kayu purba dikenali sebagai 'Keranda Hijau' kepada Mesir selepas ia dipamerkan di muzium berkenaan.


Keranda purba itu dipulangkan selepas pihak berkuasa AS mendapati ia dicuri beberapa tahun lalu, lapor saluran berita Al Jazeera pada 2 Januari 2023.


Proses repatriasi (penghantaran semula) itu merupakan sebahagian usaha kerajaan Mesir menghentikan penyeludupan barangan antik yang dicuri.


Pegawai tertinggi Majlis Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri berkata, sarkofagus tersebut dipercayai berasal dari era dinasti purba Mesir, pada tahun 664 sebelum Masihi.


Katanya, sarkofagus berukuran tiga meter tinggi yang berwarna terang itu dipercayai milik seorang 'paderi' bernama Ankhenmaat walaupun inskripsi di atas permukaan keranda itu tidak kelihatan.



Artifak purba itu diserahkan secara simbolik dalam satu majlis susulan sidang akhbar diadakan oleh Chargé d’affaires Kedutaan AS di Mesir, Daniel Rubinstein, pada Isnin lepas.


Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry dan Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Ahmed Issa turut hadir dalam majlis tersebut.


Penyerahan itu dilakukan lebih tiga bulan selepas Mahkamah Daerah Manhattan mengesahkan keranda itu dicuri dari Abusir Necropolis, utara Kaherah.


Menurut Peguam Daerah Manhattan, Alvin L Bragg, keranda purba itu dipercayai diseludup menerusi Jerman ke AS pada tahun 2008.


Pada 2021, pihak berkuasa Kaherah berjaya mendapatkan semula 5,300 artifak yang dicuri dari seluruh dunia. - Sumber Al Jazeera.


Sarkofagus kayu purba dipamerkan di Muzium Sains Asli Houston di Amerika Syarikat (AS) dipulangkan semula kepada Mesir. - Foto Mohamed Salah/AP.

Rabu, 30 November 2022

Muzium Taiwan didakwa pecahkan artifak bernilai lebih RM368 juta

Muzium Taiwan didakwa pecahkan artifak bernilai lebih RM368 juta


Muzium istana negara Taiwan telah mengakui kerosakan yang tidak didedahkan sebelum ini terhadap tiga artifak dari era dinasti Ming (1368-1644) dan dinasti Qing (1644-1911), bernilai AS$77.85 juta (RM368.5 juta), lapor laman berita Wion News.


Sebiji mangkuk, cawan teh dan pinggan pecah dalam tiga insiden berasingan sepanjang 18 bulan lalu, tetapi kerosakan itu diketahui hanya minggu lepas apabila pihak muzium menjawab soalan seorang wakil rakyat tempatan.


Pada Jumaat lalu, ketua pembangkang Taiwan, Chen I-shin menuduh pengarah muzium, Wu Mi-cha cuba menyem­bunyikan laporan bahawa Muzium Istana Nasional memecahkan khazanah pulau itu.


Namun, dalam satu sidang akhbar, Mi-cha menafikan tuduhan terhadap dirinya dan berkata, mereka tidak menyem­bunyikan berita tersebut selain mengaku tiga item daripada arkib muzium itu pecah.


Katanya, semua artifak yang pecah bukan dipamerkan dan diinsuranskan, manakala nilai keseluruhannya tidak melebihi AS$77.85 juta (RM368.5 juta). Menurut laporan, muzium terletak di pinggir Taipei itu menyimpan koleksi artifak Cina terbesar di dunia.


Artifak itu pecah antara 2021 dan 2022. Menurut Mi-cha, kejadian pertama berlaku pada Februari 2021, diikuti insiden pada 7 April 2021 dan kejadian ketiga Mei lalu.


Kakitangan muzium sedang menyusun artifak Cina apabila mendapati 'cawan teh berukir dua naga hijau' era Dinasti Ming dan 'cawan teh kuning' rosak.


Kata Mi-cha, pemeriksaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) gagal menemui orang yang bertanggungjawab me­lakukan kerosakan itu. Beliau sebaliknya percaya artifak itu rosak kerana kaedah penyimpanan tidak memuaskan.


Pengarah itu seterusnya memberi jaminan bahawa pihak muzium sedang berusaha menaik taraf kaedah penyim­panan dan menambah baik pembungkusan arkib porselin pada tahun depan. - Sumber Wion News.


Artifak yang pecah ini berasal dari abad ke-15 dan 17. - Foto Muzium Istana Nasional.

Isnin, 28 November 2022

Ahli arkeologi menemui sejumlah mumia miliki lidah emas di dalam mulut

Ahli arkeologi menemui sejumlah mumia miliki lidah emas di dalam mulut


Ahli-ahli arkeologi Mesir menemui makam-makam purba yang mengandungi sejumlah mumia dengan lidah emas di dalam mulut di Qewaisna, iaitu sebuah tapak perkuburan di negara tersebut baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 25 November 2022.


Lidah sebenar telah dibuang semasa kerja-kerja pengawetan dilakukan dan ia digantikan dengan objek emas, supaya si mati boleh bercakap dengan Dewa Osiris di akhirat mengikut kepercayaan penduduk purba di negara berkenaan.


Menurut Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Arkeologi Mesir, Dr. Mustafa Waziri, sebahagian mumia itu ditemui dengan lidah emas manakala yang lain ditutup dengan kepingan emas nipis dan diletakkan di dalam keranda kayu.


Mumia-mumia lain masih disalut dengan emas pada tulang tepat di bawah pembalut linen yang digunakan dalam proses pengawetan.


Turut ditemui ialah kepingan emas antaranya dibentuk seperti bunga teratai serta beberapa perhiasan pengkebumian, lesung batu dan tembikar yang juga mungkin digunakan untuk kerja-kerja pengawetan.


Penemuan itu diumumkan di laman Facebook Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir. Bagaimanapun, tidak jelas jumlah mumia yang baru ditemui itu atau berapa banyak daripadanya mempunyai lidah emas.


Pada tahun 2021, ahli-ahli arkeologi yang melakukan penggalian di kuil Taposiris Magna di Iskandariah turut menemui mumia berusia kira-kira 2,000 tahun dengan lidah emas di dalam mulut. - Sumber Daily Mail.


Ahli arkeologi Mesir telah menemui makam purba yang mengandungi mumia dengan lidah emas di dalam mulut mereka. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Misi penggalian baru-baru ini juga berjaya menemui sejumlah kepingan emas (gambar). - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Pihak berkuasa berkata beberapa mumia ditemui di nekropolis Qewaisna, sebuah tapak perkuburan di Mesir dengan ratusan makam dari zaman berbeza dalam sejarah negara itu. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Lidah sebenar telah dibuang semasa kerja-kerja pengawetan dilakukan dan ia digantikan dengan objek emas supaya si mati boleh bercakap dengan Dewa Osiris. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Ahad, 13 November 2022

Sikat purba berusia 3,700 tahun papar tulisan 'aneh' berkaitan kutu

Sikat purba berusia 3,700 tahun papar tulisan 'aneh' berkaitan kutu


Sekumpulan pakar sejarah menemui sebaris ayat yang ditulis menggunakan abjad pada sebatang sikat purba didakwa tertua di dunia berusia 3,700 tahun, lapor akhbar Daily Mail pada 9 November 2022.


Baris ayat tersebut memberi nasihat supaya menggunakan sikat pada rambut dan jambang bagi menghilangkan kutu. Kumpulan ahli arkeologi itu turut menemui bukti mikroskopik kutu kepala pada objek purba tersebut.


"Semoga gading ini dapat menghilangkan kutu pada rambut dan jambang," demikian menurut ayat tersebut yang ditu­lis menggunakan abjad Kanaan.


Abjad Kanaan dicipta sekitar 4,000 tahun lalu oleh penduduk yang tinggal di tanah Kanaan iaitu kawasan di sekitar Palestin, Lebanon, Sy­ria, Jordan serta Israel.


Kumpulan pakar yang me­nemui objek itu berkata, ia memberi gambaran mengenai penggunaan awal tamadun manusia bagi abjad purba serta pengaruhnya ke atas abjad Hebrew, Arab, Greek, Latin dan Cyrillic.


Sikat tersebut ditemui pada 2017 di sebuah tapak arkeologi di Tel Lachish, Israel, namun pada tahun ini, seorang pakar terbabit, Dr. Madeleine Mumcuoglu baru menyedari terdapat sebaris ayat pada objek itu.


"Ini adalah pencapaian dalam sejarah kebolehan manusia untuk menulis," kata Profesor Yosef Garfinkel dari Universiti Hebrew.


Sisir kecil itu mempunyai satu sisi dengan gigi tebal untuk meleraikan simpulan pada rambut, manakala sisi yang satu lagi mempunyai gigi halus untuk menghilangkan kutu dan telurnya, sama seperti sikat kutu dua belah hari ini yang dijual di kedai.


Kesemua 17 huruf Kanaan pada sikat itu adalah dalam bentuk purba, dari peringkat pertama penciptaan abjad sekitar 100 tahun selepas abjad pertama kali dicipta. - Sumber Daily Mail.


Ayat ini menasihati orang ramai untuk menggunakan sikat pada rambut dan jambang bagi menghilangkan kutu. - Foto AFP.

Sikat tersebut mula ditemui pada 2017 di sebuah tapak arkeologi di Tel Lachish. - Foto Daily Mail.

Rabu, 12 Oktober 2022

Syiling emas ditemui di bawah lantai dapur berjaya dijual pada harga RM3.9 juta dalam lelongan

Syiling emas ditemui di bawah lantai dapur berjaya dijual pada harga RM3.9 juta dalam lelongan


Sepasang suami isteri di Britain yang menemui 264 keping syiling emas di bawah lantai dapur rumah mereka berjaya menjualnya pada harga £754,320 (RM3.9 juta) dalam satu acara lelongan, lapor akhbar BBC News pada 7 Oktober 2022.


Artifak itu ditemui ketika pasangan itu sedang mengubah suai lantai dapur rumah mereka sebelum menjumpai sebuah tin logam berisi kepingan syiling emas yang tertanam di bawah tanah sedalam 15 sentimeter.


Ia ditemui di bawah sebuah rumah di kampung Ellerby, North Yorkshire yang tersembunyi di bawah konkrit dan papan lantai Abad ke-18. Sebilangan artifak itu berusia 400 tahun. 


Pemilik yang enggan identiti mereka didedahkan itu, pada awalnya menyangka barang tersebut sebagai kabel elektrik.


Beberapa syiling emas itu didapati bertarikh dari 1610 hingga 1727 ketika pemerintahan Raja James I, Charles I dan George I.


Setelah mendapatkan pandangan pakar artifak, syiling itu didapati milik keluarga saudagar kaya dari bandar Hull, Fernley-Maisters.


Fernley-Maisters adalah pengimport dan pengeksport kayu balak, arang batu dan bijih besi dengan generasi terkemudian berkhidmat sebagai anggota Parlimen pada awal 1700-an. 


"Jualan itu unik dalam banyak cara. Sejarah syiling itu, kaedah penemuannya dan peluang yang jarang untuk membelinya dalam acara lelongan.


"Saya tidak pernah melihat lelongan seperti itu sebelum ini. Hasilnya membuktikan keunikannya kerana anggaran saya diatasi sebanyak tiga kali ganda," kata pelelong daripada firma Spink & Son, Gregory Edmund.


Anggaran awal nilai kesemua syiling emas itu sekitar £250,000 (RM1.3 juta). Bagaimanapun ia berjaya dijual tiga kali ganda selepas cerita itu mendapat perhatian global.


Syiling-syiling itu dijual kepada berpuluh-puluh pembeli dalam lot individu oleh pelelong Spink & Son di Bloomsbury, London. - Sumber BBC News.


BACA: Semakin kaya selepas temui syiling emas bawah dapur dianggarkan bernilai RM1.3 juta.


Syiling emas itu disimpan di dalam tin logam di dalam tanah. - Foto Spink & Son.

Rabu, 21 September 2022

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya


Seorang petani Palestin dan anaknya menemui artifak berupa mozek berharga ketika era Byzantine, yang bercorak pelbagai jenis burung berwarna-warni dan beberapa haiwan lain selepas membuat penggalian hampir tiga bulan di kebunnya, lapor akhbar Reuters pada 18 September 2022.


Penemuan mozek itu mendapat perhatian dalam kalangan ahli arkeologi tempatan kerana ia merupakan salah satu khazanah arkeologi terbesar pernah ditemui di Gaza.


Salman al-Nabahin menemui peninggalan berkenaan enam bulan lalu ketika melakukan kerja bercucuk tanam di kebun zaitunnya di kem pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.


"Saya memilih untuk merahsiakan penemuan ini sehingga sesi penggalian tamat dan menutup mozek itu menggunakan kepingan timah sepanjang tiga bulan lepas," kata Salman.


Menurutnya, pada mulanya dia hairan dan tertanya-tanya berikutan beberapa pokok yang ditanamnya tidak tumbuh dengan baik.



Beliau bersama anaknya kemudian menggali tanah berkenaan sebelum kapak digunakan anaknya terkena sesuatu yang keras dan tidak dikenali rupanya.


"Saya membuat carian di internet sebelum mengetahui ia adalah mozek milik era Byzantine.


"Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sangat berharga, lebih mahal daripada harta, ia bukan kepunyaan peribadi namun milik setiap rakyat Palestin," kata bapa kepada tujuh anak itu.


Sementara itu, menurut Kementerian Pelancongan dan Kepurbaan Palestin, lantai membabitkan beberapa panel mozek berkenaan menggambarkan haiwan dan ciri-ciri lain kehidupan sosial ketika era Byzantine.


"Penemuan arkeologi masih di peringkat awal dan kami menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia dan nilai ketamadunannya.


"Pasukan penyelidik kebangsaan sedang bekerjasama dengan pakar dan saintis antarabangsa dari Sekolah Arkeologi Perancis bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan penemuan tersebut, ramai golongan profesional memohon perlindungan terhadap barangan purba yang ditemui di Gaza kerana bimbang konflik dengan Israel boleh memusnahkan peninggalan sejarah yang ada. - Sumber Reuters.


Petani Palestin Salman al-Nabahin membersihkan lantai mozek era Byzantine yang ditemuinya di kebunnya. Gambar ini diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Pemandangan lantai mozek yang dibuat sejak era Byzantine. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Salman al-Nabahin mencuci mozek lantai era Byzantine yang ditemui di kebunnya. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Tapak penggalian mozek era Byzantine yang ditemui oleh seorang petani Palestin. - Foto New York Post.