Ahad, 5 Oktober 2025

Dua wanita rakan baik disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki di hotel


Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Johor Bahru, awal pagi hari ini.


Menurut JAINJ, kesemua mereka yang masih bujang ditahan kira-kira 2.15 pagi dalam satu operasi.


"Lima minit selepas pintu diketuk seorang lelaki membuka pintu sedikit sahaja dan sebaik mengetahui kehadiran penguat kuasa, lelaki berusia kira-kira 30-an kembali menutup semula pintu.


"Penguat kuasa terus memanggil dan mengetuk pintu sebelum pintu dibuka lima minit kemudian.


"Turut ditemui dua wanita berusia sekitar 20-an berpakaian lengkap di bilik itu.


"Ketika ditanya tujuan berada dalam bilik ini, lelaki itu memaklumkan dua wanita ini baru saja masuk untuk menumpang tandas kerana tandas stesen minyak berdekatan sudah tutup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh diterima berikutan ketiga-tiga mereka beralamat di Johor Bahru dan tiada alasan untuk tidur di hotel.


"Dua wanita ini adalah kawan baik dan mengenali lelaki ini atas urusan kerja.


"Hotel didaftar atas nama lelaki dan dia yang mengajak dua wanita ini ke bilik hotel.


"Selepas diperiksa ketiga-tiga mereka ini tiada hubungan mahram dan boleh dikatakan melakukan kesalahan khalwat," katanya.


Ketiga-tiga individu ditangkap atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap khalwat di sebuah bilik hotel dalam operasi JAINJ, awal pagi hari ini. - Foto JAINJ.


EmoticonEmoticon