Lelaki yang menyamar sebagai penghantar barang maut selepas bergelut dengan polis dalam usaha memberkasnya kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol di sebuah kondominium di Wangsa Maju, semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari suspek berusia 26 tahun cuba menyerang anggota polis dengan dengan pisau.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pecah rumah pada 12.40 tengah hari sebelum dua anggota ke lokasi bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi kemudian memanggil penghuni rumah berkenaan namun tidak dijawab sebelum seorang lelaki membuka pintu rumah kira-kira lima minit kemudian.
"Anggota yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kemudian masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis terbabit.
"Bagaimanapun anggota berjaya mengelak dan berlaku pergelutan serta suspek turut menumbuk muka dan menggigit tangan anggota.
"Suspek kemudian berjaya ditahan dengan turut dibantu pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek kemudian mengadu sesak nafas dan polis menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut sebelum pegawai perubatan yang tiba mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia selepas menjalankan pemeriksaan.
"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini mendapati punca kematian suspek 'pending investigation'.
"Pemeriksaan pada tubuh badannya oleh Pegawai Perubatan Forensik tidak menemui sebarang kecederaan nyata.
"Hasil semakan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun," katanya.
Fadil berkata, siasatan mendapati terdapat empat wanita tempatan berada di rumah berkenaan pada hari kejadian dan suspek masuk ke dalam rumah dengan menyamar sebagai penghantar barang.
"Suspek mengikat tangan ke empat-empat mangsa dan mengurung tiga daripadanya di dalam bilik tidur utama.
"Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol oleh suspek sebanyak dua kali di dalam bilik dan di tandas.
"Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan.
"Semasa kejadian suspek menyamun wang tunai RM200 dan kad ATM milik mangsa sebelum merogolnya," katanya.
EmoticonEmoticon