Tiga lelaki warga Myanmar ditahan selepas dua daripadanya dipercayai menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah, semalam.
Mereka berusia 21 hingga 28 tahun ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 9 malam oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas di SJR Lalang Pepuyu menahan sebuah kereta jenis Chevrolet Optra kelabu yang mencurigakan.
Katanya, pasukan bertugas mengarahkan kereta itu berhenti dan pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 28 tahun mempunyai kad UNHCR masih sah, namun dua penumpang memiliki kad UNHCR meragukan dan disyaki palsu.
"Pemandu ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
"Dua penumpang pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana disyaki memalsukan dokumen perjalanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kereta Chevrolet Optra bernilai RM40,000, empat telefon bimbit bernilai RM4,000 dan tiga kad UNHCR dirampas.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu masuk ke Malaysia pada 2019 dengan menaiki kapal dari Sittwe Myanmar melalui Pulau Langkawi dan bekerja sebagai buruh binaan di Johor Bahru selama lima tahun sebelum berpindah ke Kajang Utama, Selangor bersama isteri dan anak yang juga warga Myanmar.
"Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan di Kajang Utama mula kenal ketika membina rumah pemilik kereta di Johor pada 2019 dan hampir dua minggu pemandu menggunakan kenderaan dengan kebenaran.
"Ketiga-tiga suspek mendakwa dalam perjalanan dari Kajang Utama ke Batu Karang, Pasir Mas untuk melawat ibu saudara yang sakit. Namun pemeriksaan di lokasi mendapati rumah yang dimaksudkan tidak wujud.
"Barang kes dan tiga lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

EmoticonEmoticon