Isnin, 8 Jun 2026

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru


"Kami baharu buka paip tepi kolam mahu basahkan badan sebelum mandi, sekali terdengar bunyi kuat seakan benda jatuh," kata seorang wanita, antara saksi kejadian dua kanak-kanak jatuh bangunan pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru pada jam 8 pagi semalam.


Berkongsi berkaitan kejadian menyayatkan hati itu menerusi laman sosial Instagram, wanita dikenali sebagai Irainany berkata, kolam renang berkenaan berada di tingkat tujuh.


Katanya, ketika itu suasana sangat sunyi memandangkan hanya empat individu berada di lokasi iaitu dia, suami, bayi mereka serta seorang pekerja bahagian pembersihan.


"Tak boleh lupa betapa cemasnya kami ketika itu apabila nampak seorang kanak-kanak perempuan jatuh selepas dengar bunyi yang kuat.


"Selepas itu, ramai jiran yang ke lokasi. Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian. Ketika itu suami menyerahkan bayi kepada saya dan ke lokasi kanak-kanak itu terjatuh," katanya.


Beliau berkata, ketika itu dia, suami serta beberapa individu lain buntu melihat keadaan mangsa.


Menurutnya, selang beberapa minit mereka sekali lagi mendengar bunyi kuat, sebelum nampak seorang budak lelaki pula yang jatuh.


"Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran lain," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan berkenaan menerusi ruangan komen menyatakan, dia yang tinggal di tingkat 13 di blok berkenaan masih terkejut dengan kejadian.


"Kanak-kanak lelaki itu di kenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri. Selepas beberapa minit kejadian ibunya ke lokasi dan saya sempat memeluk ibu mereka bagi memastikan dia tenang," katanya.


Difahamkan kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala abangnya berusia 10 tahun masih di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian. Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan selepas siasatan dijalankan.


Gambar tular dan gambar internet. Pangsapuri lokasi kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari bangunan di Tampoi pagi semalam.


EmoticonEmoticon