Selasa, 9 Jun 2026

23 NGO serta parti politik gesa hentikan gelombang kebencian terhadap Rohingya

(Foto dijana AI)

Dua puluh tiga badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik menggesa semua pihak menghentikan gelombang kebencian terhadap pelarian Rohingya.


Antara NGO yang tampil menyuarakan kebimbangan itu ialah Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), BERSIH, Parti Sosialis Malaysia dan SIS Forum (Malaysia).


Menerusi kenyataan bersama, NGO terbabit menyifatkan gelombang kebencian dan intimidasi yang semakin meningkat terhadap komuniti Rohingya adalah membimbangkan dan memalukan.


Menurut kenyataan itu, penyebaran maklumat palsu yang menggambarkan komuniti Rohingya sebagai pihak yang menuntut kewarganegaraan, kuasa politik atau autonomi wilayah sengaja direka dan diperluaskan bagi mencetuskan ketakutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.


"Dakwaan palsu yang menggambarkan pelarian Rohingya sebagai pihak yang menuntut kewarganegaraan, kuasa politik atau autonomi wilayah telah sengaja direka dan diperluaskan untuk menghasut ketakutan dan permusuhan.


"Pemimpin komuniti melaporkan mereka menerima ancaman, maklumat peribadi serta alamat rumah disebarkan secara dalam talian, manakala keluarga mereka hidup dalam ketakutan terhadap gangguan dan keganasan," menurut kenyataan itu.


Menurut gabungan NGO berkenaan, komuniti Rohingya datang ke Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan selepas menjadi mangsa penganiayaan, diskriminasi sistematik serta keganasan di Myanmar.


"Golongan itu tidak sepatutnya menjadi sasaran penghinaan, ancaman atau layanan tidak berperikemanusiaan hanya kerana status mereka sebagai pelarian.


"Walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, negara ini masih mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maruah manusia serta mencegah diskriminasi selaras komitmen hak asasi manusia antarabangsa yang sudah diratifikasi.


"Semua individu dalam sempadan negara ini perlu dilayan secara berperikemanusiaan dan dilindungi daripada keganasan, intimidasi serta penderaan," katanya.


Sehubungan itu, mereka menggesa pemimpin politik, organisasi media, platform media sosial serta agensi penguat kuasa memainkan peranan lebih aktif dalam mengekang penyebaran maklumat palsu dan menangani ancaman terhadap pelarian.


"Kekecewaan berhubung cabaran ekonomi dan sosial tidak akan dapat diselesaikan dengan menyasarkan golongan yang mempunyai paling sedikit kuasa dan perlindungan.


"Pada ketika kebencian sedang diperluaskan, kami menyeru semua rakyat Malaysia memilih kemanusiaan berbanding permusuhan, kebenaran berbanding maklumat salah dan solidariti berbanding ketakutan," katanya.


Perkampungan di Bukit Malut, Langkawi yang menjadi penempatan warga Rohingyan (gambar fail). - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon