Jumaat, 4 Julai 2025

Arkeologi temukan bandar purba berusia 3,500 tahun di Peru


Ahli arkeologi pada Khamis (3 Julai 2025) mendedahkan penemuan sebuah bandar berusia 3,500 tahun di Peru yang dipercayai pernah menjadi pusat perdagangan menghubungkan budaya pantai Pasifik dengan kawasan pergunungan Andes dan hutan Amazon.


Bandar itu berkembang pada masa sama dengan tamadun awal di Timur Tengah dan Asia.


Rakaman dron yang dikeluarkan oleh penyelidik menunjukkan pusat bandar itu ditandai dengan struktur bulat di teres bukit dengan tinggalan bangunan batu dan lumpur dibina kira-kira 600 meter dari aras laut.


Pusat bandar itu yang dinamakan Penico, terletak di wilayah Barranca di utara, dan dipercayai diasaskan antara tahun 1,800 dan 1,500 Sebelum Masihi.



Ia berdekatan dengan kawasan tamadun Caral iaitu tamadun tertua di benua Amerika yang berkembang sekitar 5,000 tahun dahulu.


Caral yang terdiri daripada 32 struktur monumen dianggap setanding dengan tamadun di Mesir, India, Sumeria dan China. Namun, tidak seperti tamadun lain, Caral berkembang secara terpencil sepenuhnya, menurut penyelidik.


Ruth Shady, ahli arkeologi yang mengetuai penyelidikan di Penico berkata, bandar yang baru didedahkan itu sangat penting kerana pakar percaya ia muncul selepas tamadun Caral musnah akibat perubahan iklim.


"Mereka berada di lokasi strategik untuk perdagangan, pertukaran dengan masyarakat dari kawasan pantai, tanah tinggi dan hutan," kata Shady.


Ahli arkeologi Marco Machacuay, penyelidik dari Kementerian Kebudayaan dalam satu sidang media berkata, kepentingan Peñico adalah kerana ia adalah kesinambungan daripada masyarakat Caral.


Selepas lapan tahun kajian, penyelidik mengenal pasti sehingga 18 struktur di Penico, termasuk kuil upacara dan kompleks kediaman.


Dinding dataran utama menonjol dengan ukiran timbul atau relif dan gambaran alat muzik pututu iaitu sejenis trompet diperbuat daripada cengkerang siput laut yang menghasilkan bunyi boleh didengari dari jarak jauh.


Di bangunan lain, penyelidik menemukan arca tanah liat berbentuk manusia dan haiwan, objek upacara serta rantai diperbuat daripada manik selain cengkerang laut.


Peru adalah pusat budaya purba dan menempatkan tapak arkeologi terkenal seperti runtuhan Inca Machu Picchu di Cusco, dan garis misteri Nazca di kawasan padang pasir di sepanjang pantai tengah negara itu.


Penyelidik Rafael Gordillo Mendez mendedahkan permukaan tiang yang dicat di tapak arkeologi Panamarca. - Foto REUTERS.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon