Lelaki warga emas kerugian RM5.9 juta selepas terpedaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan pegawai polis pada Mei lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 73 tahun yang juga pesara sebuah syarikat swasta itu diperdaya pihak berkenaan yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pihak NFCC Putrajaya memaklumkan perkara itu dan kemudian talian disambungkan kepada pegawai kanan polis yang mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
"Suspek mengatakan mangsa disyaki terbabit aktiviti penggubahan wang haram dan perlu mengisytiharkan harta serta simpanan miliknya.
"Pada Jun lalu, mangsa diarahkan membuka empat akaun bank di bank berbeza dan memasukkan wang simpanannya ke semua akaun bank itu.
"Mangsa turut diarahkan memberi maklumat perbankan kepada pihak itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas itu mangsa diarahkan untuk memasukkan semua kad ATM itu ke dalam satu sampul surat dan meninggalkan sampul itu di sebuah padang permainan di USJ 22/1, di Subang Jaya.
Katanya, warga emas itu kemudian berasa curiga dan kemudian memberitahu perkara itu kepada anaknya sebelum dia dimaklumkan pihak berkenaan adalah 'scammer'.
"Mangsa kerugian RM5,996,586.51 dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Susulan itu, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Shazeli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan yang menyamar sebagai penjawat awam secara atas dalam talian.
Katanya, masyarakat turut dinasihatkan tidak mudah percaya panggilan telefon daripada penjawat awam kerana sebarang transaksi membabitkan pihak berkuasa hanya ecara fizikal sama ada di balai polis atau pejabat kerajaan berkaitan saja.
"Jangan mendedahkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan perbankan melalui panggilan telefon atau mesej sekaligus tidak melakukan pindahan wang kepada pihak tidak dikenali.
"Orang ramai juga disaran menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk sebarang semakan, nasihat dan aduan berhubung panggilan yang diterima," katanya.
EmoticonEmoticon