Cubaan seorang lelaki melarikan diri melalui tingkap bilik sebuah hotel gagal selepas dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dengan wanita berstatus isteri orang.
Tindakan lelaki berusia 40-an itu dikesan selepas penguat kuasa JAINJ ternampak kelibatnya dalam keadaan berseluar tetapi tidak berbaju sambil berdiri atas penyaman udara di luar bilik hotel di tingkat dua.
Malah lelaki terbabit juga mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak puas hati terhadap penguat kuasa yang sudah mengepungnya di belakang hotel itu.
Menurut JAINJ, tangkapan dilakukan pada jam 1.30 pagi tadi, hasil maklumat awam dan risikan dijalankan bagi membendung kegiatan maksiat.
"Sebaik tiba, penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan kira-kira 10 minit, seorang wanita berpakaian lengkap membukanya. Pada mulanya penguat kuasa mendapati hanya seorang wanita berada dalam bilik berkenaan.
"Ketika itu, keadaan tingkap terbuka sebelum kedengaran teriakan suara seorang penguat kuasa yang ditugaskan mengawal di belakang hotel ketika operasi itu.
"Penguat kuasa itu menyuluh dan mendapati seorang lelaki cuba meloloskan diri dengan berdiri di atas kompresor penyaman udara. Lelaki itu juga marah kerana cubaan melarikan diri tidak berhasil," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, dengan bantuan penguat kuasa, lelaki berjaya ditarik masuk ke bilik melalui tingkap.
"Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu berstatus duda dan bekerja di Kluang manakala wanita berusia 30-an adalah isteri orang dan mempunyai seorang anak. Wanita itu dilaporkan bekerja di daerah lain.
"Dia (wanita) memberitahu datang ke sini (Kluang) kerana mahu membeli barang dan berehat di hotel sementara pulang ke rumah.
"Bilik hotel disewanya berada di tingkat 2 dan tindakan lelaki itu mengundang bahaya sekiranya terjatuh kerana di bawah ada longkang simen dan jalan tar.
"Pasangan ini ditangkap dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
EmoticonEmoticon