Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini kerana menerima suapan RM1,400 daripada pengurus syarikat logistik pada tahun 2020.
Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Che Fazdlie Izwan sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka menerima wang RM1,400 tanpa sebarang balasan daripada pengurus syarikat logistik yang mana tertuduh mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan dilakukan di Bank Simpanan Nasional Cawangan Batu Berendam, Taman Mutiara Melaka pada 6 Februari dan 3 Jun 2020. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anak guamnya telah digantung tugas dan melakukan dua kerja sambilan untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau lima bulan penjara jika gagal bayar.


EmoticonEmoticon