Rabu, 14 Oktober 2026

Lelaki dipenjara lapan tahun kerana paksa budak tiga tahun makan najis, dera hingga mati


Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematiannya termasuk memaksa mangsa memakan najis, empat tahun lalu.


Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Wen Jie, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.


Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Oktober 2022. Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran.


Selain itu, tertuduh juga diperintahkan melaksanakan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.


Dalam penghakiman, Abdul Fareed menyifatkan perbuatan memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai tindakan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.


"Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa, termasuk menghentak kepala, melakukan ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri untuk tempoh lama serta merotan.


"Menurut mahkamah, rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri," katanya.


Abdul Fareed berkata, tertuduh mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan dan sepatutnya menyerahkan kembali kepada bapanya sekiranya tidak mampu berbuat demikian.


Mahkamah turut menolak hujah pihak pembelaan bahawa perbuatan itu adalah cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.


"Mahkamah bagaimanapun tidak mengambil kira pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sudah ditarik balik serta punca kematian mangsa ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.


"Selepas menimbang faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan," katanya.


Pada 13 Oktober 2022, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, tiga tahun, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai, antara pukul 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nordiana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon