Ahad, 29 November 2026

Anggota polis didakwa cederakan suspek ketika operasi rondaan, dihadapkan ke mahkamah


KULIM - Seorang koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan seorang lelaki ketika menjalankan tugas penahanan dalam operasi rondaan cegah jenayah pada April lalu.


Tertuduh, Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun di hadapan sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Tunku Putra, kira-kira jam 11 pagi, 20 April lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal.


Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi. Bagaimanapun, peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai seorang anak, berpendapatan bulanan RM3,000 serta tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Sebelum ini, polis mengesahkan video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan kejadian tangkapan seorang lelaki di hadapan kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra berkaitan operasi rondaan cegah jenayah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, dilaporkan berkata rakaman itu menunjukkan seorang lelaki ditarik dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis terbabit.


Kes berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman kejadian tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.



This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon