Rabu, 14 Oktober 2026

Najib akan habiskan baki hukuman penjara bersama keluarga di Langgak Duta - Peguam


Pihak pembelaan mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.


Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya sudah menerima perintah berkenaan termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.


"Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu juga mempunyai lampiran berkenaan syarat serta terma pelaksanaan perintah itu, termasuk mekanismenya," katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.


Bagaimanapun Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana beliau sudah dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa perkara itu tidak boleh didedahkan.


"Ini kerana jika kandungannya didedahkan, orang ramai dan media akan mula membuat pelbagai spekulasi dan membincangkan perkara itu," katanya.


Ketika ditanya mengenai lokasi tahanan rumah berkenaan, Shafee mengesahkan ia adalah di kediaman Najib di Langgak Duta.


Terdahulu Najib gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu rayuannya.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Najib selain meneliti dan mendengar hujah secara lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon