Jumaat, 9 Februari 2024

Ahli arkeologi menemukan tapak kaki manusia berusia 90,000 tahun


Ahli arkeologi di Maghribi menemukan lebih 80 tapak kaki manusia purba yang berusia kira-kira 90,000 tahun lalu, dan dipercayai yang tertua di Afrika Utara, lapor New York Post pada 8 Februari lalu.


Jejak kaki yang mungkin ditinggalkan oleh lima homo sapiens, termasuk kanak-kanak, ditemukan di pantai di Larache, sebuah bandar 90 kilometer di selatan Tangier, oleh ahli arkeologi dari Maghribi, Sepanyol, Perancis, dan Jerman.


Kurator di tapak arkeologi Lixus Larache, Anass Sedrati berkata, kumpulan (homo sapiens) itu dipercayai sedang menyeberangi pantai menuju ke laut kira-kira 90,000 tahun yang lalu semasa Pleistocene Akhir, juga dikenali sebagai Zaman Ais.


"Kumpulan ini mungkin untuk mencari makanan dan kerang. Mereka mungkin nelayan atau pengumpul," katanya.



Pasukan penyelidik, yang kajiannya diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature pada Januari berkata, tapak kaki itu adalah sebahagian daripada kesan manusia yang paling terpelihara di dunia dan yang tertua di Afrika Utara dan selatan Mediterranean.


"Penemuan ini dibuat semasa misi lapangan pada Julai 2022, sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik mengenai asal-usul dan aspek dinamik batu-batu yang bertaburan di sepanjang pantai," kata penyelidik yang diketuai oleh Universiti Bretagne Sud dari Perancis.


Menurut Anass Sedrati lagi, kesan tapak kaki di Larache adalah bukti lanjut mengenai kepentingan wilayah itu dalam sejarah manusia.


Sementara itu, ketua projek penyelidikan, Mouncef Sedrati berkata, tapak warisan itu harus dikekalkan.


"Kita mesti mengekalkan tapak warisan yang luar biasa ini, walaupun ia diancam oleh kenaikan paras laut dan ribut.


"Jejak kaki lain akan ditemukan apabila sedimen terhakis. Adalah menarik untuk mengikuti hakisan ini dan mendedahkan jejak baharu yang akan memberikan lebih banyak butiran mengenai homo sapiens yang tinggal di sepanjang pantai ini," katanya. - Sumber New York Post.


Jejak itu ialah tapak kaki tertua yang dikaitkan dengan manusia yang pernah ditemui di Afrika Utara dan Mediterranean Selatan. - Foto Nature.com.

Penyelidik tidak pasti apa yang dilakukan kumpulan itu (homo sapiens) di pantai. - Foto AFP.

Anass Sedrati di kawasan penemuan tapak kaki itu. - Foto AFP.

Tapak kaki itu dipercayai kesan jejak lima homo sapiens. Foto AFP.


EmoticonEmoticon