Rabu, 7 Februari 2024

Dua lelaki ditahan simbah cat merah ke kereta, pagar jiran


Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam insiden menyimbah cat merah membabitkan tiga kenderaan di Taman Selaseh, Batu Caves, Gombak, 25 Januari lalu.


Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kedua-dua individu berusia 23 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara pada pukul 5 petang, semalam.


"Dalam serbuan berkenaan, polis merampas dua telefon pintar, sebuah komputer riba bersama satu pencetak, sebungkus plastik lut sinar, empat keping nota ugutan, dua tin cat merah, empat botol kosong minyak masak dan tiga topi keledar.


"Kita juga merampas sebuah motosikal Yamaha LC 135 berwarna hitam yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.


"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek itu positif dadah jenis methephatemine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah curi dan juga penyalahgunaan dadah.


Jelas beliau, suspek kini direman selama empat hari sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.


Pada 25 Januari lalu, media melaporkan sebanyak tiga buah kenderaan serta dua pagar rumah dilaporkan disimbah cat merah di Taman Selaseh, Batu Caves.


Difahamkan, perbuatan itu dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along selepas gagal menuntut hutang dari jiran mereka.


Antara kereta yang disimbah cat merah oleh along pagi 25 Januari lalu. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon