Jumaat, 9 Februari 2024

Anak bakar rumah ibu kerana pertikaian duit pencen arwah ayahnya


Seorang pemuda telah ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya di wilayah Mamuju, Sulawesi Barat susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis, lapor laman berita DetikSulsel, semalam.


Rumah milik Rahmatia, terletak berdekatan dengan kawasan peranginan terkenal Pantai Lombang-lombang, dibakar anak lelakinya, Irfandi, 30 tahun, pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan.


Ketua Balai Polis Kalukku, Inspektor Makmur dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan suspek yang juga dikenali sebagai Ippang dan lokasi kejadian telah dipasang garis polis untuk memudahkan siasatan.


Siasatan awal mendapati ketegangan hubungan ibu dan anak berpunca setelah mendapati ibunya mengeluarkan wang pencen bapanya tanpa memaklumkan kepadanya.


"Motifnya dia marah dengan ibunya yang telah menerima duit pencen bapanya, tetapi pelaku belum diberitahu mengenainya," kata Makmur pada Khamis ( 8/2/2024).


Makmur berkata, suspek ketika disoal siasat pada awal mengaku membakar rumah ibunya kerana dibina di atas tanah orang lain. Bagaimanapun, selepas siasatan mendalam, motif suspek membakar rumah tersebut kerana kecewa ibunya tidak berkongsi wang pencen arwah ayahnya.


Irfandi nekad memulakan kebakaran dengan menyalakan api di tirai tingkap sehingga mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda bernilai 40 juta rupiah, sekitar RM12,200. - Sumber Detik.com.


Pemuda ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis. - Foto Dok. Istimewa.


EmoticonEmoticon