Sabtu, 10 Februari 2024

Lelaki maut, bom buatan sendiri meletup ketika ceroboh bangunan sarang burung walet


Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan perut terburai selepas bom buatan sendiri meletup semasa dia cuba menceroboh masuk ke kawasan bangunan sarang burung walet di Bukit Kuah, Kampung Pemberian, Manik Urai di Kuala Krai, semalam.


Lelaki bekas kontraktor binaan berusia dalam lingkungan 60-an itu ditemukan meninggal dunia kira-kira pukul 8.25 pagi selepas polis menerima maklumat bunyi letupan di kawasan tersebut.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, mangsa masuk ke kawasan tersebut dengan memotong pagar di bahagian belakang bangunan itu.


Menurutnya, lelaki itu mengeluarkan objek disyaki bom tangan buatan sendiri bagi meletupkan pintu hadapan bangunan sarang burung walet sebelum ia tiba-tiba meletup.


"Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan bekas kontraktor binaan yang diupah oleh pemilik bangunan sarang burung tersebut.


"Bagaimanapun, terdapat pertikaian hutang apabila pemilik bangunan tersebut masih belum menjelaskan bayaran upah kepada mangsa sehingga menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan situasi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Muhamad Zaki memberitahu, lelaki itu dijumpai dalam keadaan terbaring dengan perutnya terburai di tempat kejadian.


Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut menjumpai lima unit bom buatan sendiri iaitu tiga bom jenis besi dan dua unit bom jenis polivinil klorida (PVC).


"Satu bom jenis besi telah meletup dan terkena mangsa. Mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai untuk proses bedah siasat," ujarnya.


Tambah Muhamad Zaki, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.


Mayat mangsa dijumpai maut selepas bom buatannya meletup ketika cuba menceroboh bangunan sarang burung walet di Kampung Pemberian, Manek Urai di Kuala Krai, semalam. - Foto Polis.

Pemeriksaan di lokasi menjumpai lima unit bom buatan sendiri. Siasatan menyeluruh akan terus dijalankan berhubung kes ini. - Foto Sinar Harian.

Mangsa dipercayai masuk ke kawasan itu dengan memotong pagar. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon