Suasana di Taman Jasa, Ijok, Kuala Selangor pada petang semalam kecoh apabila seorang lelaki tiba-tiba mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging sebelum berjaya ditenangkan polis yang bergegas ke lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6 petang memaklumkan tentang kejadian seorang lelaki mengamuk dan cuba menyerang orang awam di kawasan perumahan berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bestari Jaya bergegas ke lokasi dan mendapati suspek sedang menjerit sambil memegang pisau pemotong daging.
"Anggota polis berjaya menenangkan keadaan sebelum menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan berlaku kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini (Isnin).
Azaharudin berkata, suspek kini direman enam hari bermula Isnin hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu tular video di media sosial satu rakaman memaparkan detik cemas ketika polis terpaksa mengeluarkan pistol bagi menenangkan seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging dalam kejadian berkenaan.
Menerusi video 30 saat itu, beberapa anggota polis tiba dan menghalakan senjata api ke arah suspek sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini.
EmoticonEmoticon