Wanita dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki bersekedudukan dengan lelaki warga asing hingga melahirkan anak.
Serbuan dilakukan pada 10 pagi semalam di sebuah rumah, di Muar, yang ketika itu didiami wanita berusia 30-an bersama pasangannya dari negara jiran yang bekerja sebagai tukang rumah.
Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan didapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju, manakala terdapat seorang wanita hanya berkemban dengan kain batik.
Katanya, ketika serbuan itu, lelaki terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun berjaya dikejar penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu tinggal di rumah terbabit sejak dua tahun lalu.
"Siasatan lanjut juga mendapati wanita berkenaan ada melahirkan seorang anak di sebuah hospital yang kini berusia tiga bulan dan mempunyai sijil lahir," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasangan itu mendakwa mereka sudah bernikah di negara jiran namun mereka gagal mengemukakan surat pernikahannya.
"Gambar yang ditunjukkan sambil memakai baju raya meragukan dan ia bukan gambar ketika mereka akad nikah.
"Pasangan itu juga tidak dapat mengingati tarikh pernikahan mereka.
"Selain itu, penguat kuasa juga meminta wanita itu menunjukkan pasport ke negara jiran namun dia memberitahu memasukinya secara gelap.
"Justeru, pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
"Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan ataupun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah," katanya.
EmoticonEmoticon