Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti kecaknaan kerajaan terhadap pembangunan negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kesemua peruntukan yang diluluskan akan disampaikan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana masalah yang ingin diselesaikan itu dianggap masalah negara bukan di peringkat negeri semata-mata.
Beliau berkata, kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi rakyat termiskin di Kelantan yang mana akan dibantu tanpa mengira kefahaman politik.
"Semua tindakan ini adalah bukti pengurusan kerajaan yang baik kerana bila semua urusan negara dilakukan dengan baik kita boleh selesaikan masalah rakyat.
"Saya gembira mendengar luahan rakyat yang suka akan kepimpinan kerajaan hari ini kerana mereka mengakui sejak 80 tahun negara merdeka, hanya Kerajaan MADANI yang berusaha serta berikhtiar memberi peruntukan menyelesaikan masalah di kampung.
"Sebagai contoh, apabila saya mendengar isu jambatan runtuh di Kuala Krai, saya segera mengarahkan pihak berkaitan agar ia segera dibina semula," katanya pada Majlis Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, Kota Bharu hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun negara kini berhadapan krisis ekonomi, masalah rakyat di bawah tetap diambil perhatian dan itu juga adalah alasan kenapa pemerintahan Kerajaan MADANI wajar diteruskan.
"Tak ada sebab mengapa kita boleh biarkan kelompok paling miskin dalam negara. Mereka mungkin bukan pengundi kita tetapi sudah menjadi tanggungjawab untuk membantu setiap rakyat.
"Jadi, jika ada lagi pihak pembangkang yang mempersoalkan Kerajaan Persekutuan mengabaikan negeri Kelantan, saya harap mereka dapat melihat balik pelbagai peruntukan yang sudah kita sampaikan terutama untuk Kelantan," katanya.

EmoticonEmoticon