Kedah terbuka menerima mana-mana figura politik yang berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya di negeri itu termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, dalam negara yang demokrasi ini sesiapa sahaja bebas bertanding di mana-mana negeri pada pilihan raya nanti.
"Boleh, Siapa-siapa pun boleh 'mai' (bertanding) di Kedah. 'Mai' bertanding di Kedah, kita tengok orang Kedah kata apa. Di Kedah terbuka untuk sesiapa sahaja.
"(KJ bertanding di Kedah)....Tiada masalah. Mak KJ orang Kedah. Beliau (KJ) faham lah budaya orang Kedah.
"Terpulang...Di Kedah 'open field' dan 'free to everybody'. Negara (kita) bebas...demokrasi. Siapa pun boleh bertanding di mana sahaja. Saya alu-alukan siapa hendak bertanding di Kedah," katanya mengulas cadangan UMNO yang memerlukan figura seperti Khairy Jamaluddin bagi memacu semula kebangkitan politik di negeri itu.
Beliau ditemui menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah Di Perantauan Tahun 2026 yang dihadiri lebih 10,000 anak Kedah sekitar Lembah Klang di IDCC Seksyen 15, Shah Alam tadi.
Sebelum ini Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Mohd Safwan Jaafar dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) negeri itu memerlukan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik.
Beliau berkata ideologi serta pemikiran bekas Menteri Kesihatan itu berupaya merangsang perubahan dalam cara fikir rakyat Kedah.
Kelmarin, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli pelbagai peringkat yang diterima kembali menyertai parti itu malam ini.
Turut bersama dalam kelompok itu adalah bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Pada 16 Mac lalu, Hishammuddin dilaporkan menghantar permohonan rasmi untuk kembali menyertai UMNO dan langkah beliau kemudiannya turut diikuti Khairy.

EmoticonEmoticon