Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan bersama pelbagai jenis mercun yang disyaki untuk dijual di pasaran tempatan menjelang perayaan Deepavali dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Pokok Sena, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan Op Taring Landai itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan Marin PPM Langkawi kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
"Hasil serbuan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di dalam rumah tersebut dan pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun di dalam kotak.
"Kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM26,285 tersebut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan dipercayai untuk pasaran tempatan khususnya menjelang Deepavali ini," katanya hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pasukan sama turut menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama sejumlah minuman keras pelbagai jenama tanpa dokumen sah.
"Kesemua minuman keras itu dianggarkan bernilai RM7,900 yang mana kesalahan itu adalah di bawah Akta Kastam 1967," ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar untuk tindakan lanjut.
EmoticonEmoticon