Memaparkan catatan dengan label Mabuk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mabuk. Papar semua catatan

Khamis, 13 Ogos 2026

Padah memandu mabuk, ahli perniagaan dipenjara sehari dan didenda RM13,500

Padah memandu mabuk, ahli perniagaan dipenjara sehari dan didenda RM13,500


Seorang ahli perniagaan didenda RM13,500 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, Sabtu lalu.


Tertuduh, Edwin Lim Teng Guo, 26, yang didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan. Tertuduh membayar denda itu.


Selain itu, mahkamah membuat keputusan bahawa lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari sabitan, hari ini.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 89 mg/100ml melebihi had ditetapkan 50 mg/100ml.


Perbuatan itu dilakukan di Jalan Seluang, Batu Pahat pada jam 1.05 pagi, 8 Ogos lalu. Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.


Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menjalankan penugasan Op Mabuk, menahan MPV dipandu tertuduh selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.


Polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh sebelum terhidu bau alkohol. Ujian penafasan dijalankan mendapati bacaan kandungan alkohol pada ketika itu adalah 121 mg/100 ml.


Tertuduh dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian penafasan sekali lagi dijalankan di Balai Polis Batu Pahat dan bacaannya ialah 89 mg/100 ml.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

Khamis, 9 Julai 2026

MPV polis dirempuh pemandu disyaki mabuk ketika rondaan di Semabok

MPV polis dirempuh pemandu disyaki mabuk ketika rondaan di Semabok


Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di bahu jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, Melaka pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati MPV PDRM terbabit sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Kandang dan Balai Polis Tiang Dua.


Menurut beliau, ketika kejadian, anggota polis telah memberhentikan MPV berkenaan di bahu jalan dengan lampu beacon serta lampu kecemasan dipasang bagi menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.


"Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah belakang dipercayai telah melanggar bahagian sisi kanan belakang MPV PDRM tersebut.


"Tiada kecederaan dilaporkan dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan yang terlibat," katanya kepada pemberita hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta persendirian itu merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.


"Ujian saringan pernafasan yang dijalankan mendapati bacaan alkohol melebihi had yang ditetapkan, manakala saringan awal air kencing adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.


"Lelaki tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman," ujarnya.

Rabu, 8 Julai 2026

Pengurus kelab malam dipenjara 2 hari, didenda RM17,000 kerana memandu mabuk

Pengurus kelab malam dipenjara 2 hari, didenda RM17,000 kerana memandu mabuk


Seorang lelaki yang juga pengurus kelab malam dihukum penjara dua hari dan didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk pada awal pagi Jun lalu.


Hukuman itu dijatuhkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap Tan Tiong Peng, 37, selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, selain mengambil kira fakta kes serta hujahan pihak pendakwaan.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini, selain menetapkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Lesen memandunya turut digantung selama dua tahun.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 82 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had ditetapkan sebanyak 32 mg daripada kadar maksimum 50 mg per 100 ml darah.


Kesalahan itu dilakukan ketika satu operasi membanteras pemanduan dalam keadaan mabuk yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bintang Kubota pada 14 Jun lalu kira-kira jam 2.40 pagi.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta maksimum RM30,000, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf, mengakui kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.


Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah serius dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.


Beliau berhujah tindakan tertuduh mewujudkan risiko tinggi terhadap nyawa dan keselamatan orang awam, selain hukuman berat wajar dikenakan sebagai mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya.

Khamis, 30 April 2026

Pegawai tentera mabuk didakwa bunuh warga Bangladesh di mahkamah

Pegawai tentera mabuk didakwa bunuh warga Bangladesh di mahkamah


Seorang pegawai tentera dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki Bangladesh dalam kemalangan maut di Lebuhraya Maju (MEX) pada 23 April lalu.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kapten Jad Faid Arhan, 31, yang bertugas di bahagian artileri Kementerian Pertahanan, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Beliau didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, seorang pencipta kandungan permainan video yang dikenali sebagai 'Advance Gaming' pada jam 5.30 pagi di Kilometer 1.9 MEX dari arah Salak Selatan menuju ke Jalan Tun Razak pada 23 April lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.


Jad Faid yang memakai kemeja-T berkolar merah dan seluar denim biru gelap, hanya berkata 'saya faham (pertuduhan)' dan kelihatan tenang di kandang tertuduh.


Beliau yang digari diminta majistret untuk menanggalkan pelitup muka sebelum prosiding bermula. Illi Marisqa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan kes itu.



Pendakwaan kes itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani serta Izzat Amir Idham, manakala Jad Faid diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.


Sementara itu, di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, Jad Faid mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu kereta Ford Fiesta dalam keadaan mabuk.


Perbuatannya itu menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu mencederakan penumpang e-hailing warga Bangladesh, Nafisa Tabassum Adiba, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, yang parah.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu dengan paras alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kenderaan e-hailing yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.


Nordin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan yang sama seperti kes sebelumnya, manakala Muhammad Nazreen pula memaklumkan pihak pembelaan tidak akan memohon jaminan memandangkan terdapat pertuduhan bunuh.


Tengku Syazwany Yasmyn tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.


Dalam kejadian pada 23 April lalu, kereta dipandu Jad Faid dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan e-hailing dinaiki Muzahid dan isterinya, Nafisa yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar.


Muzahid maut di tempat kejadian, manakala isterinya dan pemandu kenderaan e-hailing itu parah dan dirawat di hospital.


Polis memaklumkan ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan paras alkohol melebihi had dibenarkan.

Rabu, 15 Oktober 2025

Lelaki ditahan, tak sempat jual mercun, minuman keras sambut Deepavali

Lelaki ditahan, tak sempat jual mercun, minuman keras sambut Deepavali


Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan bersama pelbagai jenis mercun yang disyaki untuk dijual di pasaran tempatan menjelang perayaan Deepavali dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Pokok Sena, semalam.


Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan Op Taring Landai itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan Marin PPM Langkawi kira-kira pukul 1.30 tengah hari.


"Hasil serbuan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di dalam rumah tersebut dan pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun di dalam kotak.


"Kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM26,285 tersebut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan dipercayai untuk pasaran tempatan khususnya menjelang Deepavali ini," katanya hari ini.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pasukan sama turut menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama sejumlah minuman keras pelbagai jenama tanpa dokumen sah.


"Kesemua minuman keras itu dianggarkan bernilai RM7,900 yang mana kesalahan itu adalah di bawah Akta Kastam 1967," ujarnya.


Tambahnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar untuk tindakan lanjut.


Suspek ditahan bersama sejumlah mercun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Pokok Sena semalam. - Foto PPM.

Isnin, 18 Ogos 2025

Enam lelaki ditahan kes merusuh guna senjata di kelab malam

Enam lelaki ditahan kes merusuh guna senjata di kelab malam


Enam lelaki ditahan dalam kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah kelab malam di pusat bandar raya, Kuala Lumpur, sehingga tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 28 saat memaparkan seorang individu dipukul oleh sekumpulan lelaki.


Menurutnya, hasil semakan mendapati, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis pada jam 9.33 pagi semalam berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika berjalan keluar dari sebuah kelab malam di Kuala Lumpur dan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.


"Bertindak atas maklumat, PDRM membuat tangkapan ke atas enam suspek berusia antara 25 hingga 29 tahun yang terlibat dalam kes itu.


"Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan PDRM komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara serta memandang serius kejadian-kejadian seumpama ini.


"PDRM menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Tangkap layar video tular di media sosial.

Ahad, 22 Jun 2025

Pengawal keselamatan parah kena serang ketika mabuk di Nilai

Pengawal keselamatan parah kena serang ketika mabuk di Nilai


Seorang pengawal keselamatan berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah selepas ditetak oleh sekumpulan individu tidak dikenali dalam satu kejadian pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.08 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang memaklumkan mangsa dimasukkan ke zon merah, Jabatan Kecemasan dengan kesan kecederaan di muka dan badan.


"Siasatan awal mendapati mangsa ditetak menggunakan senjata jenis parang dan dipukul dengan kayu oleh lebih dari empat orang suspek dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi.


"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki," katanya ketika dihubungi.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme atau dendam lama.


"Pergaduhan dipercayai tercetus ketika semua pihak berada di bawah pengaruh alkohol, yang membawa kepada salah faham dan provokasi. Pihak polis sedang giat mengenal pasti suspek terlibat serta lokasi sebenar kejadian," katanya.


Seorang pengawal keselamatan cedera parah selepas ditetak sekumpulan individu dalam pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.