Ahad, 6 September 2026

Sebab audio TV terlalu kuat, suami mabuk tetak isteri guna parang


Gara-gara memasang audio televisyen terlalu kuat, seorang wanita menjadi mangsa amukan suaminya yang mabuk apabila ditetak dengan parang dalam kejadian di Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, wanita tempatan berusia 70-an itu luka kira-kira satu sentimeter di tangan kanan, bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian wanita cedera akibat ditetak suaminya.


"Susulan maklumat itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek yang juga suami mangsa berusia 70-an itu.


"Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas mangsa memasang audio televisyen dengan kuat.


"Suspek yang berada dalam keadaan mabuk kemudiannya bertindak menetak mangsa sebanyak satu kali di tangan kanan menggunakan parang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.


EmoticonEmoticon