Seorang ahli perniagaan didenda RM13,500 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, Sabtu lalu.
Tertuduh, Edwin Lim Teng Guo, 26, yang didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan. Tertuduh membayar denda itu.
Selain itu, mahkamah membuat keputusan bahawa lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari sabitan, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 89 mg/100ml melebihi had ditetapkan 50 mg/100ml.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Seluang, Batu Pahat pada jam 1.05 pagi, 8 Ogos lalu. Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menjalankan penugasan Op Mabuk, menahan MPV dipandu tertuduh selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.
Polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh sebelum terhidu bau alkohol. Ujian penafasan dijalankan mendapati bacaan kandungan alkohol pada ketika itu adalah 121 mg/100 ml.
Tertuduh dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian penafasan sekali lagi dijalankan di Balai Polis Batu Pahat dan bacaannya ialah 89 mg/100 ml.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

EmoticonEmoticon