Khamis, 13 Ogos 2026

'Nasib baik tak jadi jenazah' - Hakim tegur tok siak, ‘cleaner’ mengaku cuba zina dalam bilik jenazah


"Nasib baik tidak jadi jenazah semasa melakukan perbuatan itu, kalau tidak terus dimandikan di situ."


Teguran itu dilontarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man terhadap bekas siak masjid dan seorang wanita berstatus isteri orang yang didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu, Melaka.


Tertuduh lelaki berusia 48 dan wanita 51 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan sebelum dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.


Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan individu yang bukan suami atau isteri yang sah di sisi hukum syarak.


Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di lokasi berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.


Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berulang kali di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan antara Januari hingga April 2026.


Mereka kemudian tahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 4 Jun 2026 selepas satu laporan polis diterima berkaitan dakwaan rogol. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku secara sukarela dan dilakukan berulang kali.


Dalam tegurannya, Mawardi berkata, kes berkenaan begitu serius kerana berlaku di kawasan masjid yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan jenazah umat Islam.


"Di sinilah tempat penyucian akhir orang yang mati. Tetapi apa yang berlaku di tempat kejadian ini mendatangkan dosa besar kerana persetubuhan haram dilakukan di tempat berkenaan" katanya.


Jelas beliau, perbuatan itu lebih mengecewakan kerana tertuduh lelaki yang juga bekas siak bertanggungjawab menguruskan persiapan jenazah, manakala tertuduh wanita pula membantu kerja pembersihan di masjid sebagai sukarelawan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).


Mawardi berkata, kesalahan itu bukan sahaja pelanggaran hukum syarak, malah mencemarkan amanah yang diberikan kepada individu yang sepatutnya menjaga kesucian rumah ibadat.


Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersama Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, lokasi kejadian serta kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai petugas masjid.


Pendakwaan berkata, kedua-dua tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat serta membantu mengimarahkan masjid, namun amanah itu disalahgunakan.


Sementara itu, peguam syarie daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh.


Menurutnya, tertuduh lelaki adalah duda yang mempunyai empat anak dan bekerja sebagai siak masjid manakala tertuduh wanita yang masih berstatus isteri dan hampir 29 tahun melayari perkahwinan serta mempunyai lapan anak.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.


Bekas siak dan seorang wanita berstatus isteri orang didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah Masjid Al-Ibadah, Kampung Bukit Piatu, Melaka. - Foto Harian Metro.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon