Rabu, 8 Oktober 2025

Lapan perompak kedai emas di Siam mungkin sudah menyorok di Kelantan


Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di sempadan termasuk bagi mengekang kemasukan lapan penjenayah yang merompak kedai emas membabitkan kerugian lebih RM3 juta di Sungai Golok, Ahad lalu.


Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata selain kawalan di sempadan, pemeriksaan dan sekatan jalan raya turut dipertingkatkan.


"Kita sudah dimaklumkan berhubung kejadian rompakan di sebuah pusat membeli belah di Sungai Golok. Susulan itu kita perketatkan elemen Op Taring di sempadan.



"Langkah berjaga-jaga dilakukan sejak awal lagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


"Saya juga sudah memaklumkan kepada anggota bertugas supaya meningkatkan kawalan termasuk di sekatan jalan," katanya tadi.


Terdahulu media melaporkan, pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan ahli kumpulan penjenayah yang merompak kedai emas di Pasar Raya Big-C Sungai Golok, Thailand lolos ke Malaysia.


Jurucakap Polis Wilayah 9 dilaporkan berkata, andaian itu berpandukan kepada penemuan dua pacuan empat roda disyaki digunakan kumpulan terbabit di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, Isnin lalu.


Lapan lelaki bersenjata merompak sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah Big C di pekan Sungai Golok, Thailand, Ahad lalu. - Foto Polis Thailand.


EmoticonEmoticon