Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Ahad, 25 Oktober 2026

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

 

Seorang wanita di China mengalami kecederaan serius apabila lima tulang rusuknya patah dan satu lagi mengalami keretakan halus selepas dipeluk suaminya sendiri.


Menurut laporan media, kejadian berlaku apabila wanita itu memberitahu suaminya yang hanya dikenali sebagai Wang bahawa dia berasa sejuk.


Wang kemudian memeluk isterinya seperti biasa untuk memberikan kehangatan, namun pasangan itu terkejut apabila terdengar bunyi retakan sebelum wanita berkenaan tiba-tiba terduduk kesakitan dan sukar untuk berdiri.


Pada mulanya, wanita itu menyangka kecederaan berkenaan hanya ketegangan otot biasa. Namun, selepas menahan kesakitan selama sehari, dia akhirnya mendapatkan rawatan di hospital.


Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) mendapati lima tulang rusuknya patah, manakala satu lagi mengalami keretakan halus.


Doktor memaklumkan kecederaan itu berpunca daripada osteoporosis yang teruk sehingga menyebabkan tulangnya terlalu rapuh dan mudah patah walaupun akibat tekanan ringan.


Wanita itu dibenarkan pulang dengan bekalan ubat serta tampalan bagi membantu proses pemulihan. Dia juga dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak memerlukan pembedahan.


Menurut Wang, isterinya mempunyai berat badan antara 45 hingga 50 kilogram serta sering mengamalkan diet ketat, termasuk tidak mengambil makan malam.


Wanita itu juga dikatakan minum kopi setiap hari, jarang keluar rumah dan sentiasa menutup seluruh tubuh ketika berada di luar bagi mengelakkan cahaya matahari.


Doktor menjelaskan bahawa kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari boleh menjejaskan penghasilan vitamin D, yang penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.


Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis ialah penyakit yang menyebabkan ketumpatan tulang berkurangan, sekali gus menjadikan tulang lebih lemah dan meningkatkan risiko patah.


Kini, wanita berkenaan memberi tumpuan kepada proses pemulihan di rumah serta mula mengubah gaya hidup dengan lebih kerap mendapatkan cahaya matahari dan memastikan pengambilan kalsium mencukupi.

Isnin, 27 Julai 2026

Berpenampilan wanita, alat kelamin wanita, selepas berusia 26 tahun dia disahkan sebenarnya lelaki

Berpenampilan wanita, alat kelamin wanita, selepas berusia 26 tahun dia disahkan sebenarnya lelaki

(Foto dijana AI)

Seorang wanita berusia 26 tahun disahkan dilahirkan tanpa rahim dan ovari, selain secara biologi adalah lelaki selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, lapor the Global Times.


Wanita yang dikenali sebagai Li itu bekerja di Shenzhen, wilayah Guangdong, selatan China. Semasa menjalani pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan syarikat tempatnya bekerja, imbasan ultrabunyi mendapati dia tidak mempunyai rahim, ovari atau tiub fallopio, selain terdapat jisim pada kedua-dua sisi rongga abdomennya.


Ujian kromosom kemudian mengesahkan Li secara biologi adalah lelaki, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia menghidap Complete Androgen Insensitivity Syndrome (CAIS) atau Sindrom Ketidakpekaan Androgen Menyeluruh.


Menurut media sama, sindrom ketidakpekaan androgen adalah gangguan keturunan yang berpunca daripada mutasi pada gen reseptor androgen (AR).


Keadaan itu menyebabkan individu yang mempunyai kariotip 46, XY gagal membentuk ciri fizikal lelaki yang lazim dan akhirnya memiliki penampilan luaran seperti wanita.


Difahamkan, Li mempunyai penampilan wanita, alat kelamin luaran wanita dan faraj, namun tidak mempunyai rahim serta ovari.


Keadaan itu bermakna dia tidak akan mengalami haid atau mampu mengandung, manakala jisim yang dikesan dalam abdomennya sebenarnya adalah sepasang testis yang tidak turun ke kedudukan normal.


Li berkata, dia turut memaklumkan keadaan kesihatannya kepada teman lelakinya ketika itu, namun mereka kemudian berpisah disebabkan perbezaan personaliti. Dia mengakui keadaan fizikalnya menyebabkan tekanan dari segi psikologi dan fisiologi.


Li berkata, dia tidak pernah memberitahu ibu bapanya bahawa dia tidak mengalami haid sejak di bangku sekolah menengah kerana berasa malu untuk membincangkan perkara itu.


Selepas salah satu testisnya mengalami perubahan patologi, dia menjalani pembedahan membuang testis kiri yang tidak turun ke kedudukan normal atas saranan doktor.


Li yang kini kembali menjalani rutin kerja seperti biasa berkata, dia berharap dapat mengambil seorang anak angkat suatu hari nanti kerana amat menyayangi kanak-kanak dan pernah mengikuti pengajian pendidikan prasekolah di universiti.

Rabu, 31 Disember 2025

Suami saman isteri enggan derma hati untuk selamatkan nyawanya

Suami saman isteri enggan derma hati untuk selamatkan nyawanya


Seorang lelaki di Korea Selatan pada awal Disember lalu memfailkan saman terhadap isterinya atas dakwaan pengabaian berniat jahat selepas wanita itu enggan menderma sebahagian daripada hati bagi menyelamatkan nyawanya.


Pasangan berusia 30-an itu telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai dua orang anak kecil.


Kehidupan mereka berubah secara mendadak apabila lelaki berkenaan disahkan menghidap sirosis bilier primer, sejenis penyakit hati yang jarang berlaku.


Doktor dimaklumkan bahawa tanpa pemindahan hati, jangka hayatnya dianggarkan hanya sekitar setahun.


Selepas dimasukkan ke dalam senarai menunggu pemindahan organ, lelaki tersebut menerima sokongan penuh daripada ibu bapanya yang menanggung kos rawatan, selain isterinya yang setia menjaga sepanjang tempoh sakit.


Namun keadaan semakin kritikal apabila penderma sesuai gagal ditemui. Harapan kembali muncul apabila ujian perubatan mendapati isterinya mempunyai keserasian HLA melebihi 95 peratus, sekali gus menjadikannya penderma yang amat sesuai.


Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan kepada doktor dan keluarga mentuanya bahawa dia mengalami ketakutan melampau terhadap jarum dan objek tajam, menyebabkan dia tidak mampu menjalani pembedahan menderma sebahagian hati.


Keengganan itu mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga apabila lelaki tersebut mula mempersoalkan keikhlasan isterinya dan menuduh wanita itu sengaja membiarkannya mati.


Tekanan turut datang daripada ibu bapa lelaki berkenaan yang mempersoalkan penolakan menantu mereka walaupun mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan nyawa suami dan bapa kepada anak-anaknya.


Situasi akhirnya berubah apabila seorang penderma ditemui dan lelaki tersebut berjaya menjalani pemindahan hati dengan selamat.


Namun selepas pulih, lelaki itu menyiasat alasan isterinya dan mendapati wanita berkenaan pernah menjalani pembedahan apendiks serta beberapa ujian darah tanpa sebarang masalah.


Apabila berdepan dengan suaminya, wanita itu mengakui bahawa alasan ketakutannya bukan semata-mata fobia, sebaliknya kebimbangan terhadap risiko komplikasi pembedahan yang boleh menyebabkan anak-anak mereka kehilangan ibu.


Penjelasan itu bagaimanapun tidak meredakan kemarahan suaminya yang kemudiannya memfailkan saman, mendakwa isterinya mengabaikan tanggungjawab sebagai pasangan.


Kes tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Korea Selatan, namun mahkamah memutuskan untuk memihak kepada isteri, dengan menegaskan bahawa pendermaan organ merupakan hak peribadi berkaitan autonomi tubuh dan tidak boleh dianggap sebagai kewajipan, walaupun dalam ikatan perkahwinan.


Mahkamah turut mengambil kira bahawa keputusan wanita itu dibuat atas kebimbangan munasabah terhadap kebajikan anak-anaknya.


Menurut laporan media tempatan, pasangan tersebut akhirnya bersetuju untuk bercerai, dengan hak penjagaan anak diberikan kepada isteri, yang turut bersetuju untuk terus memberi sokongan kewangan bagi membantu bekas suaminya menjalani pemulihan perubatan.

Khamis, 14 Ogos 2025

Paling Kecil RM300, Besar Sekali RM20,000 - Peniaga Kaki Lima Jual Batu Di Bukit Bintang

Paling Kecil RM300, Besar Sekali RM20,000 - Peniaga Kaki Lima Jual Batu Di Bukit Bintang


Dalam satu klip video, seorang individu bertanya harga bagi sebiji batu yang dijual peniaga kaki lima di ibu kota.


"Paling kecil RM300 dan yang besar sekali RM20,000," kata peniaga itu.


Menurut lelaki terbabit, meskipun kelihatan seperti batu di tepi jalan, namun peniaga terbabit mendakwa batu berkenaan mempunyai bahan berharga termasuk berlian.


Difahamkan klip video tersebut dirakam di sebuah kawasan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur namun tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada batu itu betul mempunyai berlian atau sebaliknya.


Menjengah ke ruangan rata-rata pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen yang mengecam tindakan tidak masuk akal peniaga terbabit.


"Kalau betul ada yang beli dan percaya memang bongok, kalau betul batu itu harga beribu-ribu buat apalah dia duduk di situ jual batu. Benda boleh kaya kenapa nak duduk tepi jalan," komen seorang netizen.


"Aku yakin mesti orang beli, pasal orang Malaysia ni dia percaya pada batu-batu," tulisnya seorang lagi netizen.


Tangkap layar klip video memaparkan batu yang dijual peniaga terbabit.

Rabu, 18 Jun 2025

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun


Seorang warga emas berusia 64 tahun di wilayah Anhui, China terkejut apabila mengetahui bahawa berus gigi yang ditelannya lebih lima dekad lalu masih berada di dalam badannya, lapor portal berita Must Share News pada 17 Jun 2025.


Lelaki dikenali sebagai Yang itu segera mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami sakit dada yang berterusan.


Semasa dia menjalani endoskopi dan imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor terkejut apabila menemui objek yang panjang dan nipis di dalam duodenum iaitu bahagian usus kecilnya.


Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek tersebut adalah berus gigi plastik kanak-kanak.


Menurut Yang, dia secara tidak sengaja menelan berus gigi itu ketika bermain pada usia 12 tahun.


Selain merahsiakan perkara itu daripada ibunya, Yang menganggap objek tersebut akan larut secara semula jadi di dalam badan.


Bahkan, berus gigi itu kekal di tempat sama selama 52 tahun tanpa menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.


Yang selamat menjalani pembedahan dan doktor berjaya mengeluarkan objek itu. - Sumber MS News.


Doktor mengeluarkan berus gigi yang berada dalam ususnya selama 52 tahun. - Foto Liberty Times Net.

Khamis, 29 Mei 2025

Orang ramai terkejut, wanita misteri merangkak keluar dari lubang di tengah jalan

Orang ramai terkejut, wanita misteri merangkak keluar dari lubang di tengah jalan


Pengguna sebatang jalan di Bandar Makati, Filipina terkejut apabila seorang wanita misteri merangkak keluar secara tiba-tiba dari lubang saluran air di tepi jalan, lapor laman berita Tribunnews semalam.


Kejadian berlaku Isnin lalu (26/5/2025) di Jalan Rufino dan Adelentado, Kampung Legazpi, Bandar Makati.


Dalam satu video tular, wanita tersebut muncul dari dalam lubang di tepi lintasan pejalan kaki dalam keadaan rambut panjang mengurai tidak terurus, baju dipenuhi kekotoran serta tanah dan daun kering.


Ketika dia keluar dari lubang tersebut, kepalanya menoleh ke arah lelaki yang merakam gambarnya.


Setelah merangkak keluar, dia tersenyum lalu berlari ke arah lelaki berkenaan, namun dihalang oleh seorang lelaki lain yang berpakaian askar.


"Dia berlari ke arah saya, namun dikejar seorang lelaki memakai uniform askar.


"Beberapa pejalan kaki, penunggang motosikal dan pengawal lalu lintas hanya berdiri melihatnya dalam keadaan terkejut, bingung dan mungkin terhibur," kata William yang memuat naik video tersebut di laman Instagram.


Sementara itu, saluran berita Filipina, GMA News Online ketika memetik Polis Bandar Makati sebagai berkata, wanita tersebut mungkin tinggal di dalam lubang itu dalam tempoh lama.


Polis berkata, mereka menemui beberapa barangan peribadi di dalam saluran itu serta percaya bahawa wanita itu memerlukan rawatan perubatan.


Pihak berkuasa kini sedang mencari wanita tersebut. - Sumber Tribunnews.


Seorang wanita muncul secara tiba-tiba dari saluran air atau longkang bertutup di tepi jalan. - Foto Instagram.

Rabu, 12 Februari 2025

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan


Seorang lelaki nekad membeli sebuah tapak pelupusan sampah di Wales, United Kingdom selepas dia kehilangan sejumlah besar Bitcoin secara tidak sengaja, lapor laman berita Sky News pada 11 Februari 2025.


Pekerja sektor teknologi maklumat (IT), James Howells, 39, berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman wanitanya membuang cakera keras yang mengandungi beribu-ribu Bitcoin miliknya pada 2013.


"Bitcoin itu dianggarkan bernilai lebih £600 juta (RM3.3 bilion) dalam pasaran hari ini.


"Saya mahu membeli tapak itu sebelum ditutup oleh Majlis Bandar Raya Newport supaya saya boleh mencari harta yang hilang ini," kata Howells. 


Howells membawa kes itu ke mahkamah, namun pada bulan lalu, hakim tidak memihak kepadanya.


Dalam samannya, Howells meminta dia dibenarkan menggeledah tapak pelupusan sampah itu atau pihak dewan bandar raya membayar pampasan sebanyak £495 juta (RM2.7 bilion) kepadanya.


Pihak pentadbiran Newport memberikan hujah di mahkamah bahawa penutupan tapak pelupusan itu semata-mata untuk membolehkan Howells mencari Bitcoin miliknya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.


"Saya menjangkakan tapak tersebut akan ditutup beberapa tahun lagi tetapi tidak menyangka ia secepat ini.


"Sekiranya Majlis Bandar Raya Newport bersedia, saya berminat untuk membeli tapak pelupusan itu dan telah membincangkan pilihan ini dengan rakan kongsi pelaburan saya," tambah Howells. - Sumber Sky News.


James Howells mahu membeli tapak pelupusan sampah selepas kehilangan Bitcoin bernilai RM3.3 bilion. - Foto Shutterstock.