Rabu, 31 Disember 2025

Suami saman isteri enggan derma hati untuk selamatkan nyawanya


Seorang lelaki di Korea Selatan pada awal Disember lalu memfailkan saman terhadap isterinya atas dakwaan pengabaian berniat jahat selepas wanita itu enggan menderma sebahagian daripada hati bagi menyelamatkan nyawanya.


Pasangan berusia 30-an itu telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai dua orang anak kecil.


Kehidupan mereka berubah secara mendadak apabila lelaki berkenaan disahkan menghidap sirosis bilier primer, sejenis penyakit hati yang jarang berlaku.


Doktor dimaklumkan bahawa tanpa pemindahan hati, jangka hayatnya dianggarkan hanya sekitar setahun.


Selepas dimasukkan ke dalam senarai menunggu pemindahan organ, lelaki tersebut menerima sokongan penuh daripada ibu bapanya yang menanggung kos rawatan, selain isterinya yang setia menjaga sepanjang tempoh sakit.


Namun keadaan semakin kritikal apabila penderma sesuai gagal ditemui. Harapan kembali muncul apabila ujian perubatan mendapati isterinya mempunyai keserasian HLA melebihi 95 peratus, sekali gus menjadikannya penderma yang amat sesuai.


Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan kepada doktor dan keluarga mentuanya bahawa dia mengalami ketakutan melampau terhadap jarum dan objek tajam, menyebabkan dia tidak mampu menjalani pembedahan menderma sebahagian hati.


Keengganan itu mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga apabila lelaki tersebut mula mempersoalkan keikhlasan isterinya dan menuduh wanita itu sengaja membiarkannya mati.


Tekanan turut datang daripada ibu bapa lelaki berkenaan yang mempersoalkan penolakan menantu mereka walaupun mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan nyawa suami dan bapa kepada anak-anaknya.


Situasi akhirnya berubah apabila seorang penderma ditemui dan lelaki tersebut berjaya menjalani pemindahan hati dengan selamat.


Namun selepas pulih, lelaki itu menyiasat alasan isterinya dan mendapati wanita berkenaan pernah menjalani pembedahan apendiks serta beberapa ujian darah tanpa sebarang masalah.


Apabila berdepan dengan suaminya, wanita itu mengakui bahawa alasan ketakutannya bukan semata-mata fobia, sebaliknya kebimbangan terhadap risiko komplikasi pembedahan yang boleh menyebabkan anak-anak mereka kehilangan ibu.


Penjelasan itu bagaimanapun tidak meredakan kemarahan suaminya yang kemudiannya memfailkan saman, mendakwa isterinya mengabaikan tanggungjawab sebagai pasangan.


Kes tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Korea Selatan, namun mahkamah memutuskan untuk memihak kepada isteri, dengan menegaskan bahawa pendermaan organ merupakan hak peribadi berkaitan autonomi tubuh dan tidak boleh dianggap sebagai kewajipan, walaupun dalam ikatan perkahwinan.


Mahkamah turut mengambil kira bahawa keputusan wanita itu dibuat atas kebimbangan munasabah terhadap kebajikan anak-anaknya.


Menurut laporan media tempatan, pasangan tersebut akhirnya bersetuju untuk bercerai, dengan hak penjagaan anak diberikan kepada isteri, yang turut bersetuju untuk terus memberi sokongan kewangan bagi membantu bekas suaminya menjalani pemulihan perubatan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon