Rabu, 31 Disember 2025

Speaker DUN Perlis tarik balik pemakluman buat PRK tiga kerusi DUN kosong


Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini menarik semula pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis berhubung permohonan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kepada bagi tiga kerusi DUN Bintong, Chuping dan Guar Sanji yang diumumkan kosong selepas tiga Adun kawasan itu diberhentikan keahlian mereka daripada PAS sebelum ini.


Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan berkata, walaupun tiada berlakunya PRK, kerusi berkenaan akan kekal dibiarkan kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.


"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk pendirian PAS selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis.


"Sebelum ini, saya sudah menghantar notis pemakluman kepada SPR Perlis pada 29 Disember lalu memaklumkan bahawa tiga ADUN PAS iaitu ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim didapati tidak layak menjadi ahli Dewan mengikut Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.


"Notis pemakluman itu turut menyatakan keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan luar jangka selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, Kangar hari ini.


Katanya, bagaimanapun selepas PAS mengeluarkan kenyataan media rasmi semalam yang memberi jaminan terus mendukung kerajaan negeri Perlis selaras mandat rakyat pada PRU15, beliau berpandangan majoriti ADUN tidak lagi terjejas.


"Kenyataan Menteri Besar Perlis yang menegaskan komitmen meneruskan agenda perpaduan PN yang ketika ini masih memiliki majoriti besar iaitu 11 daripada 15 kerusi DUN turut diambil kira dalam pertimbangan semula itu.


"Sehubungan itu, saya mendapati tiada lagi keperluan untuk diadakan pilihan raya semula bagi tiga kekosongan luar jangka berkenaan," katanya.


Rus'sele menjelaskan, penarikan balik pemakluman mengenai keperluan PRK itu dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis melalui surat bertarikh semalam.


"Namun kekosongan luar jangka bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuat kuasa sebagaimana surat saya bertarikh 29 Disember lalu.


Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan itu juga sebagai menjunjung titah Raja Perlis agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan negeri serta rakyat Perlis.


Beliau berkata, perkembangan terkini berhubung perkara itu turut dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melalui warkah yang diutuskan hari ini.


EmoticonEmoticon